Kota Kinabalu: Persatuan Karate Sabah (SKA) merangkul sejumlah 15 pingat emas, 10 perak dan 21 gangsa dalam Kejohanan Karate Piala Datuk Bandar KL ke-8 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu.
Tiada gelaran keseluruhan untuk pencapaian itu dan tujuh emas, enam perak dan 13 gangsa datang daripada kategori bawah 13 tahun yang diadakan pada hari pertama.
Dalam kategori bawah 14 tahun, kadet dan remaja yang diadakan pada hari kedua, mereka memenangi lagi lapan emas, empat perak dan lapan gangsa.
SKA diwakili oleh 51 ahli pasukan terdiri daripada 28 lelaki dan 23 perempuan diketuai oleh pengurus Richard Ajak dan Grace Tiwon.
Setiausaha Agung Julian Chin yang tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kontinjen itu berpuas hati dengan keputusan keseluruhan.
Beliau mengucapkan tahniah kepada atlet, jurulatih dan ibu bapa atas pencapaian tersebut.
Walaupun meraih kejayaan itu, beliau menyeru para atlet supaya berlatih lebih gigih kerana masih ada ruang untuk diperbaiki.