Sun, 25 Feb 2024

HEADLINES :




PKP Esszone. Hanya libat perairan, bukan daratan: Esscom
Published on: Sunday, December 10, 2023
By: Bernama
Text Size:

PKP Esszone. Hanya libat perairan, bukan daratan: Esscom
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Victor Sanjos - fail gambar Bernama
SEMPORNA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), yang dijenamakan semula daripada Perintah Berkurung sebelum ini, hanya melibatkan perairan dan bukan kawasan daratan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Victor Sanjos berkata perkara itu perlu dijelaskan susulan kegusaran yang timbul terutama dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong asing yang keliru kerana PKP tersebut telah disalah tafsir sebagai turut berkuat kuasa di kawasan daratan.

“Saya ingin mengambil ruang ini untuk membetulkan persepsi pihak luar terhadap pengoperasian PKP Esszone ini yang dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ia (berkuat kuasa) di kawasan perairan yang melebihi jarak tiga batu nautika ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa daripada 6 petang hingga 6 pagi,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat malam.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, membantu Esscom dan PDRM membetulkan kekeliruan yang timbul agar sektor pelaburan asing serta industri pelancongan di Esszone dapat ditingkatkan lagi sekali gus mensejahterakan ekonomi masyarakat di kawasan itu.

Ketua Polis Negara dalam kenyataan pada Oktober lepas memaklumkan Perintah Berkurung Sabah tamat pada 6 petang 17 Okt dan dilanjutkan sebagai PKP Esszone Sabah oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

Perintah Berkurung di Esszone, yang diisytiharkan mulai 19 Julai 2014 dan tamat pada siri ke-220 pada 17 Okt lepas, merupakan mekanisme pemantauan serta kawalan pasukan keselamatan iaitu PDRM, APMM dan ATM terhadap pergerakan bot atau kapal yang digunakan oleh penduduk setempat, pelaut, pelancong serta komuniti maritim di perairan Sabah yang berlandaskan kepada Akta Polis 1967.

Mengulas mengenai PKP Esszone, Victor berkata ia dilihat semakin memberi perkembangan positif kepada keberkesanan koordinasi operasi keselamatan yang dilaksana selain membantu usaha mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat pelancongan di kawasan itu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan Esscom bersama PDRM, ATM dan APMM di Esszone dalam mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Jan 2020. 

“Sejak tahun 2000 hingga 2020, sebanyak 25 kes penculikan berlaku di Esszone namun trend tersebut mulai berubah apabila Esscom mula mengkoordinasikan Operasi Sanggah dan pelbagai operasi khas bersama pasukan keselamatan di Esszone khasnya. 

“Hasil usaha yang berterusan itu, kita berjaya menumpaskan sel-sel kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan dengan 17 orang telah ditembak mati manakala 23 lagi ditangkap,” katanya sambil menambah 16 kes cubaan menculik berjaya dipatahkan sejak 10 tahun lepas.

Victor berkata keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di ESS Zone turut kekal terjamin melalui operasi secara bersepadu yang dilaksana dari semasa ke semasa tahun ini. Beliau berkata setakat 23 Nov lepas, Esscom berjaya mengkoordinasi lebih 2.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot dengan 512 orang ditahan manakala 150 kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan. 

Selain itu, katanya sebanyak 215 pendatang telah diusir yang melibatkan 88 kapal atau bot dari sempadan negara.

Bagi kes penyeludupan, Victor berkata jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh sama juga melebihi RM17.5 juta dan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok serta barang kawalan RM14.3 juta. 

“Selain itu, nilai rampasan dadah dan barang milik pendatang masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 juta,” katanya. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT


Advertisement 






Berita Utama Hari Ini




Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here