RANAU: Kewujudan Pasukan Bomba Sukarela di sesuatu kawasan penting kerana mereka banyak membantu ketika bencana alam khususnya ketika banjir, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Beliau berkata, pengalaman banjir kilat beberapa tahun lalu di beberapa kawasan di sini perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak untuk lebih bersedia menghadapi situasi itu.
Advertisement
_GDN_ENG_300x250px_rv1.gif)
Justeru itu, beliau mengumumkan dana sebanyak RM12,000 untuk pembiayaan aktiviti dan pembelian peralatan Pasukan Bomba Sukarelawan Kg Libang bagi menangani bencana alam.
“Penubuhan Pasukan Bomba Sukarela ini penting dan sangat membantu apabila berlaku bencana alam khususnya banjir. Pengalaman banjir pernah berlaku beberapa kali di Kg Libang dan sekitarnya.
“Sebagai pemimpin di sini, saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Ranau kerana menyediakan latihan asas menyelamat ketika bencana berlaku,” katanya.
Jonathan berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Sukaneka Kg Libang 2023 yang melibatkan belia kampung, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib mengalu-alukan berita itu dan berterima kasih kepada Jonathan atas sokongan dan sumbangannya.
“Semoga dengan sumbangan dan sokongan ini dapat memberi kelegaan kepada penduduk kawasan ini kerana mengetahui Pasukan Bomba Sukarelawan Kg Libang lebih lengkap berbanding sebelum ini,” katanya.
Ridwan juga berkata, sumbangan itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan Pasukan Bomba Sukarela di Libang dan menaikkan semangat anggota Bomba Sukarelawan di daerah ini.
Kepsyen:
JONATHAN (tengah) bersama yang lain pada program sukan di Kg Libang baru-baru ini