Sun, 21 Apr 2024

HEADLINES :


11 barangan disenarai dalam SHMMP CNY bermula 6 Feb
Published on: Saturday, February 03, 2024
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

11 barangan disenarai dalam SHMMP CNY bermula 6 Feb
ARMIZAN (kiri) menunjukkan 11 barangan di bawah skim tersebut, diiringi oleh Azman (tengah) dan Georgie. - gambar Bernama
PAPAR: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina (CNY) selama sembilan hari berkuat kuasa dari 6 hingga 14 Feb tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 11 jenis barangan akan diwartakan sempena skim tersebut.

Antara 11 barangan itu, katanya, ialah udang putih (berat antara 41 dan 60 sekilogram); ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor); babi hidup; daging babi (perut); daging babi (daging dan lemak); kobis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing); ubi kentang import (China); bawang putih; halia tua import; lobak putih import; dan lobak merah.

Armizan berkata semakan harga bagi skim itu juga boleh diperoleh menerusi laman web KPDN di https://www.kpdn.gov.my.

“Peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada 11 barangan di bawah SHMMP bagi memastikan rakyat tahu ini adalah barangan yang ditetapkan pada harga maksimum.

“Tentu sekali, kami mengalu-alukan peniaga menurunkan harga barangan tetapi tidak meletakkan harga melebihi harga maksimum,” katanya.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar mengumumkan SHMMP Tahun Baharu Cina 2024 pada Program Amal dan Cabutan Bertuah SJK (C) Cheng Hwa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), di pekan di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Roziah Abudin, Ketua Pengarah (Penguatkuasa) KPDN Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas.

“Skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan akan membolehkan harga ditetapkan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Manakala Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan (KPKM) akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan bekalan barangan mencukupi,” katanya.

Menurut Armizan, 2,200 pegawai kementeriannya serta 900 pegawai pemantau harga di seluruh negara akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah untuk keperluan perayaan itu.

“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan dan tindakan segera boleh diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:-

(i) Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi 

(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan

(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000;

(ii) Bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda harga merah jambu pada barangan harga terkawal:-

(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000; dan

(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000.

Justeru, Armizan berkata kementerian meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan melalui saluran berikut:

i. WhatsApp ke 019-848 8000;

i. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;

iii. Pusat Panggilan 1-800-886-800, dan;

iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here