Kota Kinabalu: Pegawai kerajaan yang gagal menjalankan tugas dengan baik, sehingga menyebabkan pembangunan Sabah terjejas akibat kelewatan tidak sepatutnya, akan disingkirkan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk James Ratib berkata beliau akan membangkitkan perkara itu di Kabinet Negeri.
Advertisement
.gif)
“Saya akan mencadangkan agar pegawai kerajaan itu ditukar kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka menghalang usaha murni Kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya selepas menyampaikan ucaptama yang dihadiri 10 jabatan dan agensi kerajaan di bawah Kementeriannya.
Turut hadir Setiausaha Tetap Maria Chong, pengarah-pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kebajikan Negeri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, pegawai daerah, jururawat dan penjawat awam masing-masing, antara lain.
James mengambil contoh pembinaan beberapa klinik kesihatan yang tertangguh akibat karenah birokrasi dan kegagalan pegawai kerajaan menjalankan tugas yang diamanahkan.
“Contoh yang ketara ialah klinik kesihatan di Kg Mansiat di Sook yang dibina pada 1979 sebelum musnah terbakar pada 2022. Sehingga kini ia tidak dapat dibina semula kerana tiada geran tanah di tapak sedia ada.
Advertisement
.png)
“Bayangkan, selama 44 tahun tiada geran dikeluarkan, selepas kita semak. Nampaknya masih di peringkat penggubalan dan merupakan permohonan baharu...tidak tahu di mana permohonan asal sebelum ini.
“Permohonan asal dibuat sejak 1979, tetapi sehingga kini pengeluaran geran tanah masih belum diluluskan. Ini pelik dan menyedihkan.
Advertisement
_(1).png)
“Peruntukan untuk mendirikan bangunan baharu klinik kesihatan memang ada, tetapi pembinaannya tidak dapat dijalankan kerana masalah ini yang sudah tentu menyusahkan rakyat.
“Terdapat banyak klinik lain yang mengalami masalah sama,” kata James, yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah.
Sejak menjawat jawatan itu, beliau berjaya menyelesaikan masalah serupa sehingga beberapa klinik kesihatan di Sabah dapat dibina.
Antaranya pembinaan klinik baharu di Kampung Langkon, Kota Marudu yang tertangguh lebih 10 tahun berikutan masalah melibatkan jalan masuk kira-kira 200 meter ke tapak klinik kesihatan sedia ada milik Sawit Kinabalu.
Masalah itu selesai apabila beliau campur tangan dan berunding dengan Sawit Kinabalu yang akhirnya menyediakan hampir 10 ekar sebagai tapak baharu klinik kesihatan itu yang mana lebih baik berbanding tapak sebelum ini malah lebih dekat dengan lebuh raya utama.
“Ia sangat penting untuk mengadakan kerjasama dan hubungan yang baik dengan jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan supaya sebarang isu termasuk yang kecil dapat ditangani segera dan tidak menghalang pelaksanaan mana-mana projek kerajaan untuk rakyat.
“Justeru itu, tekad saya adalah menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bagi memastikan semua masalah seumpama ini diselesaikan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.
“Alhamdulilah, usaha ini juga membabitkan pembinaan 23 klinik kesihatan dan hospital yang tertangguh sejak 2009, dan kini kita menyiapkannya satu persatu, yang akan memberi manfaat kepada masyarakat,” kata James.