SANDAKAN: Pendidikan amat penting kerana ia memacu pembangunan bangsa dan negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata, dasar pendidikan yang dibawakan kerajaan juga antara lain membantu anak-anak untuk mendapat pembelajaran terbaik bermula dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat tertinggi.
“Dalam masa sama, kerjasama ibu bapa dan guru dalam memastikan pembelajaran anak-anak sentiasa berada pada tahap terbaik, juga amat penting.
“Semoga kerjasama ini dapat dilaksanakan sepanjang masa untuk kecemerlangan anak-anak kita yang akan menjadi pemimpin masa hadapan,” tambahnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Tahun 6 SRK Sung Siew di Ballroom, Sabah Hotel, di sini, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau disampaikan p;ej Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah Sekong, Saparuddin Abu.
Hadir sama, wakil Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah Sung Siew, Kwok Chee Yen serta Guru Besar SRK Sung Siew, Chin Shoon Yuen.
Seramai 144 murid tahun enam sekolah itu diraikan pada majlis berkenaan.
Majlis graduasi tersebut meraikan murid tahun 6 yang bakal meninggalkan sekolah rendah bagi meneruskan pendidikan di sekolah menengah.
Jelas Khairul, majlis ini juga menggambarkan betapa prihatin pihak sekolah dan ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap budaya pendidikan yang mementingkan pengiktirafan kepada murid melalui pelbagai aktiviti sekolah.
“Acuan gagasan pendidikan ini yang seharusnya menjadi amalan dan budaya, bukan sahaja kepada warga SRK Sung Siew, malah kepada semua sekolah di negeri dan negara ini kerana ia juga mampu membawa keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.
“Inilah semangat dan kesungguhan yang perlu ada pada setiap anggota masyarakat, terutamanya ibu bapa, kerana ini akan menjadi penentu kepada kejayaan pendidikan dan masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
Terdahulu, Kwok dalam ucapannya berkata, tamatnya pengajian di tahun 6 tidak bermakna berakhirnya untuk menuntut ilmu.
“Sebenarnya ini baru satu permulaan sebuah impian harapan dan kehidupan baru untuk anda semua,” katanya.
Chin, sementara itu, merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Lembaga Pengelola sekolah, warga PIBG, ibu bapa, semua guru dan kakitangan sokongan sekolah kerana tidak jemu membantu dari segi material dan sokongan moral hingga mampu merealisasi majlis graduasi itu.