Kota Kinabalu: Seorang guru memberitahu mahkamah bahawa pengetua SMK Taun Gusi (2014) merupakan seorang yang manipulatif ketika mengendalikan isu guru ponteng di sekolah itu.
Ketua subjek Bahasa Inggeris Nurhaizah Ejab, 39, berkata pengetua Suid Hanapi (atas kapasitinya sebagai Pengetua SMK Taun Gusi), seorang yang suka memutar belit apa jua isu sehingga masalah ketidakhadiran guru di sekolah itu diserahkan kepadanya untuk diselesaikan.
Menurut Nurhaizah, Suid tidak melakukan sebarang tindakan bagi menyelesaikan masalah guru ponteng du sekolah itu sehinggalah pada suatu hari terdapat lawatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dia menjadikan Nurhaizah sebagai kambing hitam di mana dia menyalahkannya kerana tidak memberitahunya lebih awal tentang masalah itu.
“Suid juga mengaibkan saya di hadapan semua orang semasa mesyuarat hujung tahun dengan mengatakan saya gagal sebagai ketua subjek Bahasa Inggeris walaupun saya menerima anugerah cemerlang pada 2014.
“Bukan saya sahaja yang menjadi mangsa tetapi guru-guru lain juga kerana Suid membuatkan guru-guru berasa paling bodoh, paling tidak berguna dan tidak pandai mengurus.
“Suid bukan sahaja memalukan dan menyalahkan guru-guru tetapi pelajar juga menjadi takut kepadanya contohnya Siti Nafirah Siman, 23, dan tiga lagi pelajar yang memfailkan saman terhadap guru Bahasa Inggeris dan tujuh yang lain, dipaksa dan diugut untuk menulis perkara yang baik mengenai guru Bahasa Inggeris Mohd.
Jainal Jamrin yang gagal masuk kelas untuk mengajar mata pelajaran itu,” katanya.
Nurhaizah memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ismail Brahim, dalam perbicaraan saman yang difailkan plaintif Siti Nafirah, terhadap Mohd Jainal (JJ) defendan pertama, kerana didakwa gagal memasuki kelas mengajar subjek Bahasa Inggeris kepada pelajar terbabit, lapan tahun lalu di SMK Tau Gusi.
Antara defendan lain dalam saman itu ialah Suid (atas kapasitinya sebagai Pengetua SMK Taun Gusi), SMK Taun Gusi, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia, yang dinamakan sebagai defendan kedua, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan.
Plaintif memohon antara lain pengisytiharan bahawa lapan defendan itu melanggar kewajipan berkanun mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal memastikan dia diajar bahasa Inggeris dari tempoh Februari 2015 hingga Okt 2015 dan mempersiapkannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.
Nurhaizah kemudian memberi keterangan bahawa dia menggalakkan Ibrahim Jadoon, dari Amerika Syarikat yang terlibat dalam program Bantuan Mengajar Bahasa Inggeris (ETA) FullBright untuk menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp mengenai masalah ‘Guru Ponteng’ di SMK Taun Gusi kerana dia tahu Suid tidak akan melakukan sebarang tindakan untuk menyelesaikan masalah terbabit.
“Sejak 2015 saya tidak pernah mendengar atau melihat sebarang tindakan adil yang diambil oleh Suid untuk menyelesaikan isu ‘Guru Ponteng’. Apa yang saya tahu guru-guru yang terlibat dalam masalah tersebut akan mendapat kelas yang kurang untuk peperiksaan SPM PT3.
“Selain itu guru juga akan diberikan mata pelajaran yang dianggap kurang penting seperti Pendidikan Seni,” katanya.
Peguam Shireen Sikayun mewakili Siti Nafirah manakala Peguam Kanan Persekutuan Jesseca Daimis dan Peguam Persekutuan Mohd Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mewakili defendan.
Peguam Datin Mary Florence Gomez (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hak Wanita dan Kanak-Kanak Persatuan Undang-undang Sabah) dan Yannik Mohd Annuar bertindak sebagai pemerhati untuk Suhakam. Perbicaraan diteruskan.