Thu, 18 Apr 2024

HEADLINES :


‘Terus teguh dalam usaha martabatkan seni lukis’
Published on: Wednesday, February 21, 2024
By: Larry Ralon
Text Size:

‘Terus teguh dalam usaha martabatkan seni lukis’
LIEW (belakang, tengah) bersama pemenang.
Kota Kinabalu: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berharap Balai Seni Lukis Sabah sentiasa bersedia dan peka dengan perubahan semasa,.

Beliau berkata, mengamalkan budaya kerja di luar kebiasaan dan berfikir di luar kotak juga perlu diamalkan untuk mendapatkan hasil yang luar biasa.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi bukan hanya diukur dengan pencapaian sasaran kerja atau pendapatan yang diperoleh, tetapi juga dinilai melalui perkhidmatan berintegriti, berkualiti dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Justeru, besarlah harapan saya agar Balai Seni Lukis Sabah terus berdiri teguh selaras dengan misi dan visinya terutama dalam usaha memartabatkan industri seni Sabah,” katanya, sambil mengucapkan selamat ulang tahun ke-40 galeri itu dengan harapan ia akan meneruskan kerja yang terpuji.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jubli ke-40 Balai Seni Lukis Sabah merangkap Majlis Penyampaian Hadiah serta Perasmian Pameran Seni Dalam Talian Kanak-Kanak dan Belia Antarabangsa Jilin-Sabah 2023/2024 di galeri berkenaan di Jalan Arkib, di sini, Selasa.

Terdahulu, Liew berkata acara tiga dalam satu itu diadakan bagi menghargai segala usaha yang telah disumbangkan oleh Allahyarham Datuk Yaman Haj Ahmad Mus, pengasas dan bekas Pengarah yang menubuhkan Balai Seni Lukis Sabah pada 1984.

Beliau berkata berpegang kepada prinsip Yaman iaitu “Bring Art To The People”, galeri itu mengekalkan prinsip ini dengan merangka pelbagai usaha dan inisiatif, agar seni terus dekat bukan sahaja kepada artis tetapi juga kepada masyarakat.

Sempena dengan sambutan jubli ke-40 tahun ini, beliau berkata Balai Seni Lukis Sabah telah menganjurkan beberapa program untuk memperingati perjuangan Yaman sebagai pengasas galeri itu dan seorang pelukis yang banyak menyumbang kepada pembangunan industri seni Sabah.

Antara program yang dimaksudkan ialah Pameran Solo Richard Lim dan Benedict Chong yang sedang berlangsung di galeri Aras 3 dan Aras 4; Pameran Retak Pertujuh yang merupakan Pameran Jemputan yang diadakan setiap tahun; Pameran Meraki yang merupakan pameran kumpulan pemenang Kategori Khas KPTNS 2022/2023; Pameran Retrospektif Datuk Yaman Hj Ahmad Mus dengan mempamerkan karya beliau sebagai seorang pelukis; dan program tahunan terbesar iaitu Majlis Penyampaian Anugerah Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) yang diadakan sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi TYT Yang Dipertua Negeri Sabah ke-71.

Penyertaan untuk program KPTNS dibuka pada 5 Feb hingga 31 Julai 2024. Pameran sempena program ini akan diadakan pada Oktober sehingga Februari 2025.

“Saya yakin program atau pameran yang diadakan bagi menghargai pelukis, sama ada lama mahupun baharu, adalah penting untuk memberi inspirasi kepada generasi muda meneruskan perjalanan seni sedia ada.

“Tidak dinafikan industri seni lukis juga memberi impak yang besar terhadap pemeliharaan budaya serta menjadi aset penting bagi sektor pelancongan,” kata Liew.

Bercakap mengenai sektor pelancongan, beliau berkata pada tahun lepas Balai Seni Lukis Sabah bekerjasama dengan Jilin People’s Association for Friendship with Foreign Countries, dengan mengadakan program yang dinamakan Pameran Seni Lukis Dalam Talian Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Jilin-Sabah. 

Jilin merupakan sebuah wilayah di China dan program ini diadakan bagi meraikan hubungan diplomatik antara Sabah dan Jilin (China) yang sudah mencecah sedekad.

“Seramai 179 peserta dari 41 sekolah seluruh Sabah menyertai program ini, bersama 221 peserta dari Jilin, China. Saya berharap inisiatif sebegini akan diteruskan dan bersama-sama kita mempopularkan dan membudayakan seni lukis supaya lebih dikenali dan dekat dengan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang program tersebut.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Josie Lai, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah Mackey Apison, Pengarah Balai Seni Lukis Sabah Sara Elisya Ahmad Shah, Pengarah Jabatan Muzium Sabah Arif Abd Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Thonny Chee, antara lain.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here