KERAJAAN Negeri akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina dan Krismas peringkat negeri mulai tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus memutuskan untuk mengadakan kedua-dua sambutan anjuran negeri ini, sama seperti sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebagai bukti kesungguhan negeri ini dalam memastikan kesaksamaan bagi semua perayaan, tanpa mengira kaum atau agama.
“Rumah terbuka untuk semua perayaan harus memupuk perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama di Sabah,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2024 bagi daerah Sandakan pada 11 Feb.
Majlis itu dianjurkan oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Papat dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan.
Ketua Menteri turut menyeru rakyat bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri bagi merealisasikan objektif yang digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pelan ini, yang dimulakan pada 2021, kini sedang berjalan dengan baik dan dengan sokongan berterusan daripada rakyat, ekonomi negeri sedia untuk pertumbuhan selanjutnya, seterusnya menarik minat meningkat daripada bakal pelabur untuk melabur di Sabah.
“Fokus utama kami kekal untuk memajukan pembangunan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui inisiatif ekonomi,” katanya, menambah jika momentum itu dikekalkan, lebih banyak program boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Di KOTA KINABALU, lebih 10,000 orang daripada semua lapisan masyarakat berkunjung ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk menyertai sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Negeri dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) pada 10 Feb.
Yang Dipertua Negeri Tun (Dr) Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan (Dr) Norlidah RM Jasmi merasmikan majlis bertuah itu, disamping Hajiji dan isterinya Datuk Juliah Salag.
Juhar dan Norlidah mengedarkan “ang pow” kepada ahli-ahli Persatuan Warga Emas Sabah dan Persatuan Kecergasan dan Pembangunan Orang Tua Kota Kinabalu (Koat).
Pengerusi Penganjur Datuk Christina Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menganggap perayaan kali ini berbeza.
Katanya, kehadiran sekitar 400 tetamu dari 38 kumpulan etnik di Sabah memakai pakaian tradisional masing-masing menambah lagi kemeriahan, ditambah dengan 15 persatuan puak Cina selain ratusan pelancong antarabangsa.
Antara tetamu yang hadir ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu Dr Huang Shifang, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu Bapa Rafail, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Makhzan Mahyuddin, Timbalan Speaker Sabah Datuk Al Hambra Tun Juhar dan Datuk Richard Yong, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Datuk Chang Foong Hin.
Turut hadir ialah Setiausaha Negeri Datuk Sr Safar Untong, Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Ginger Phoong, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Presiden FCAS Tan Sri TC Goh dan Presiden Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah Kota Kinabalu (USCCAKK) Datuk Susan Wong.
“Kerajaan Negeri meletakkan ‘jiwanya’ dalam perayaan ini kerana kami mahu bersama-sama dengan rakyat. Dengan sokongan orang ramai seperti yang terlihat dalam sambutan baik untuk acara-acara anjuran kerajaan, kami akan meraikan setiap perayaan, termasuk Hari Raya, Pesta Kaamatan dan Krismas, dengan skala besar mulai sekarang.
“Inilah keindahan Sabah dimana semua komuniti, walau apa pun bangsa, etnik atau agamanya, berkumpul di bawah satu bimbung untuk merayakan Tahun Baharu Lunar Cina dan perayaan lain,” katanya.
Kemuncak perayaan tersebut termasuklah tarian yang dipersembahkan oleh 75 singa, unicorn dan naga, pertunjukkan bunga api, tarian alu-aluan oleh Lembaga Kebudayaan Sabah yang menggambarkan kepelbagaian kaum dan budaya di Sabah, upacara Yee Sang, tarian kebudayaan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan persembahan alat muzik memukau daripada pemain saksofon muda berusia 14 tahun, Zara Goh Flintoft.