Thu, 18 Apr 2024

HEADLINES :


Usaha gempur kegiatan ‘curi karan’
Published on: Thursday, February 22, 2024
By: Bernama
Text Size:

Usaha gempur kegiatan ‘curi karan’
Kota Kinabalu: Penduduk Sabah melihat kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kecurian elektrik atau ‘curi karan’ merupakan langkah tepat dalam merealisasi tindakan tegas mengempur kegiatan tersebut.

Benjamin Cleyk, 26, seorang juruelektrik di sebuah hotel di sini berkata isu kecurian elektrik sudah berlarutan sejak sekian lama di Sabah bukan kerana tiada penguatkuasaan sebaliknya, kekurangan tindakan susulan selepas sambungan haram elektrik itu dipotong oleh SESB.

“Mereka (pencuri elektrik) akan buat sambungan semula selepas sambungan haram itu dipotong SESB, pagi potong, petang sambung balik sudah. 

“Kita faham SESB hanya syarikat pembekal elektrik sukar ambil tindakan menahan pencuri itu jadi ini tepat masanya kerjasama erat bersama PDRM.

“Dengan kerjasama ini, kita harap selepas SESB potong sambungan haram itu, PDRM dan pihak berkuasa lain terus ambil tindakan kepada pelakunya berdasarkan undang-undang. Saman atau tangkap sahaja supaya tidak berulang lagi,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang berasal dari Penampang berkata buat permulaan, penguatkuasaan tegas itu boleh dilakukan di beberapa ‘kawasan panas’ telah dikenal pasti terlibat dengan kecurian elektrik di Bandaraya Kota Kinabalu sebelum usaha diperluas ke kawasan lain terutama di bandar.

Pada 14 Feb lalu, Bernama melaporkan Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata syarikat itu dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat perbuatan mencuri bekalan elektrik, justeru kerjasama dengan PDRM diperkukuhkan bagi membanteras kegiatan itu.

Pemandu pelancong berasal dari Likas Taty Ilyana Md Ali, 31, berkata kerjasama SESB dan PDRM itu boleh diperluaskan lagi kepada kerjasama pelbagai agensi bagi melakukan operasi bersepadu menggempur kecurian elektrik terutamanya di kawasan setinggan di negeri ini.

Mengulas lanjut beliau berkata ‘pancing karan’ merupakan istilah yang selalu digunakan di negeri ini merujuk kepada tindakan pemilik rumah setinggan rata-ratanya, pendatang haram, membuat penyambungan haram terhadap kabel membekalkan elektrik.

“Mudah nak kesan ‘pancing karan’ ini, lihat sahaja tiang dan wayar elektrik kemudian tiba-tiba ada banyak sambungan haram ke rumah setinggan, jadi itulah dia kawasan panas yang perlu digempur. 

“Selain SESB dan PDRM, bawa juga Jabatan Imigresen, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi lain, untuk gempur sama-sama,” katanya yang turut mencadangkan agar tindakan juga diambil terhadap pendatang haram.

Guru sekolah rendah Mohd Ikram Baharuddin, 26, berkata usaha membanteras kecurian elektrik tidak wajar diletakkan atas bahu SESB dan PDRM semata-mata, sebaliknya komuniti dan persatuan penduduk perlu memainkan peranan memastikan tiada kegiatan seperti itu berlaku di kawasan mereka.

“Ketua komuniti atau kampung buat laporan polis jika usaha menasihati tidak diendahkan, kecurian elektrik ini sebabkan kerugian jutaan ringgit yang boleh diguna tingkatkan sistem bekalan elektrik, sistem itu juga jadi ‘beban’ tampung pengguna haram yang tidak sepatutnya terima bekalan,” katanya yang berasal dari Telipok, Tuaran.

Sementara itu, Madius ketika dihubungi Bernama berkata beliau amat menghargai maklum balas dan sokongan diberikan rakyat negeri ini dalam usaha membanteras kecurian elektrik yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Beliau berkata pihaknya memahami ramai rakyat yang kurang jelas mengenai isu itu sehingga ada yang mempersoalkan tindakan SESB tidak menahan atau mendakwa pelaku di mahkamah, namun menurutnya SESB tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk menahan pelaku itu.

“SESB badan korprat berniaga pembekalan elektrik. SESB ini mangsa kepada jenayah curi di peringkat kita tindakan diambil melaporkan pihak berkuasa. 

“Analoginya pencuri masuk rumah curi barang, pemilik rumah laporkan kepada polis dan siasatan serta menahan pencuri adalah di pihak polis,” katanya.

Beliau berkata SESB berdepan kehilangan 17 peratus tenaga elektrik setahun iaitu 10 peratus akibat faktor teknikal manakala 7 peratus kehilangan disebabkan faktor bukan teknikal.

“Satu peratus itu sama dengan RM30 juta dalam nilai wang ringgit, jadi maksudnya kalau 7 peratus, kita hadapi kerugian RM210 juta setahun,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here