Wed, 9 Oct 2024
HEADLINES :


Dr Jeffrey: Safma perlu raih peluang dalam ekonomi biru
Published on: Thursday, February 22, 2024
Text Size:

Dr Jeffrey: Safma perlu raih peluang dalam ekonomi biru
Kitingan berkata dengan usia Jeti Pendaratan Perikanan Safma Kota Kinabalu yang melebihi 40 tahun, keupayaan fizikal dan kemudahan-kemudahan yang ada sudah berusia dan menghampiri pusingan hayatnya.
Kota Kinabalu: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (Safma) perlu meraih pelbagai peluang dalam Ekonomi Biru seperti yang digariskan dalam dasar kerajaan negeri yang mahu merancakkan ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata dalam menjayakan usaha itu, Safma perlu menumpukan bidang tangkapan ikan laut dalam kategori C2 dan C3, selain mengadakan pelbagai usaha sama dengan pelabur berpotensi.

“Kerjasama melalui pelaburan langsung asing (FDI) amat diperlukan, bukan sahaja dari segi kewangan malah perkongsian dari segi teknologi, penggunaan jenis kapal dan kaedah tangkapan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini sempena lawatan beliau ke ke Kompleks Perikanan Safma semalam.

Lawatan Kitingan itu turut dihadiri Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, dan Pengerusi Safma Mohammad Mohamarin.

Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata usaha kerajaan negeri memperkasakan Ekonomi Biru khususnya berkait rapat dengan perikanan adalah fokus kerajaan untuk melestarikan keterjaminan makanan.

“Kejayaan Ekonomi Biru ini dijangka dapat memperkayakan lagi sumber ikan sekali gus merancakkan lagi aktiviti-aktiviti memproses, mengeluarkan produk-produk hiliran dan meluaskan kawasan pemasaran,” katanya.

Katanya Ekonomi Biru menjanjikan potensi yang besar dalam pelbagai bidang antaranya ialah perikanan dan akuakultur, perkapalan dan pengangkutan, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur marin, dan lain-lain.

Bagaimanapun, beliau berkata Safma sudah mencapai 42 tahun sejak penubuhannya pada 5 Feb, 1982, namun keadaan dan kemudahan di Kompleks Perikanan Safma tidak mengalami banyak perubahan.

Kitingan berkata dengan usia Jeti Pendaratan Perikanan Safma Kota Kinabalu yang melebihi 40 tahun, keupayaan fizikal dan kemudahan-kemudahan yang ada sudah berusia dan menghampiri pusingan hayatnya.

Katanya data pendaratan ikan Sabah pada 2022 menunjukkan Kota Kinabalu mencatat jumlah terbesar iaitu lebih 70,000 tan, diikuti Semporna dengan lebih 30,000 tan, dan Tawau lebih 29,000 tan.

Sebanyak 80 peratus pendaratan ikan di Kota Kinabalu dilakukan di jeti tersebut.

“Beberapa penekanan harus dilaksanakan pada tahun terdekat ini. Bagi menjayakan usaha perikanan laut dalam, fasiliti-fasiliti yang menyokong ke arah usaha ini harus diwujudkan, antaranya ialah pelabuhan atau kompleks pendaratan ikan yang bersepadu,” katanya.

Beliau berkata dalam inisiatif Sabah Maju Jaya untuk Safma, kerajaan melaksanakan projek menaik taraf kemudahan sedia ada seperti loji ais, ruang memproses dan bilik sejuk.

Bagaimanapun projek penambahan jeti pendaratan baharu dan pemerolehan kapal menangkap ikan tertangguh akibat kekangan kewangan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here