Sun, 21 Apr 2024

HEADLINES :


Naik taraf Kompleks Safma tampung keperluan industri
Published on: Tuesday, February 27, 2024
By: Jeremy S Zabala
Text Size:

Naik taraf Kompleks Safma tampung keperluan industri
JEFFREY (ketiga dari kanan) melihat beberapa produk makanan laut semasa lawatan rasminya ke kompleks Safma, baru-baru ini.
Kota Kinabalu: Cadangan menaik taraf Kompleks Safma bernilai RM8 juta akan meningkatkan pendapatan – terutamanya membabitkan makanan laut - kerana ia sudah lama bergelut bagi memenuhi peranannya dalam industri perikanan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata kemudahan “lapuk” di kompleks itu tidak dapat menampung sepenuhnya pendaratan ikan.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf apabila dijalankan di kompleks itu akan meluaskan pintu untuk menerima produk makanan laut yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

“Safma mempunyai peranan yang baik dalam menangkap, memproses dan memasarkan ikan (pengeluaran makanan laut). Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk menggantikan kemudahan berusia 40 tahun ini yang tidak lagi sesuai.

“Jeti (sendiri) tidak lagi mampu menampung keperluan walaupun jeti (Safma) Kota Kinabalu menerima lebih 80 peratus pendaratan ikan setiap tahun berbanding jeti lain di Sabah,” katanya ketika melawat Kompleks Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (Safma), di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Mayor Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Mafi) negeri berkata, ini bukan sahaja selaras dengan harapan kerajaan untuk menggalakkan pendekatan Ekonomi Biru tetapi juga meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri.

“Safma tidak akan dapat memainkan peranannya dan memberikan perkhidmatan sebaiknya jika kemudahan kekal sama. Kita memerlukan Safma untuk menjalankan pemprosesan dan ini sudah lama diabaikan kerana ketiadaan kewangan atau peruntukan.

“Jadi, saya akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan sumber kewangan yang akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti Safma dan pada masa sama organisasi bagi menjalankan peranan lain (dalam industri),” tambahnya.

Dilaporkan Sabah mengeluarkan kira-kira 240,170.81 tan metrik makanan laut bernilai RM1.523 bilion pada 2022 dengan Kota Kinabalu menyumbang 70,460 tan metrik bernilai RM534.48 juta.

Nilai itu menurun pada 2023 dengan hanya 212,795.64 tan pengeluaran makanan laut bernilai RM1.408 bilion, penurunan sebanyak 11.04 peratus disebabkan oleh cuaca dan subsidi diesel.

Terdapat kira-kira 896 kapal berdaftar di bawah Jabatan Perikanan dengan lebih 200 kapal komersial berlabuh di jeti Safma (Kota Kinabalu).

Beliau juga berkata sebuah jeti akan dibina di Kuala Abai manakala pendekatan jangka panjang akan dibuat melalui Jabatan Perikanan bagi memohon sebuah kawasan di Kibagu, Sepanggar untuk dijadikan pelabuhan makanan laut yang akan dikenali sebagai Fisheries i-Port.

Sementara itu, Jeffrey berkata “laluan” alternatif bagi mendapatkan dana untuk pembangunan akan memberi manfaat kepada ekonomi Negeri.

“Saya telah mencadangkannya dan Kerajaan Negeri sudah pun meluluskan untuk kita meneroka sumber (pendapatan) baharu seperti perdagangan karbon. Ini (sudah tentu) memerlukan pemuliharaan yang merupakan hala tuju global ke arah menangani perubahan iklim.

“Tetapi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengelirukan pemimpin dan rakyat,” katanya.

Jeffrey mengulas mengenai kekurangan dana untuk penaiktarafan yang boleh diperoleh melalui kaedah alternatif.

“Pemimpin Sabah harus berfikiran terbuka. Tidak sepatutnya ada ‘double standard’. Kita mahu membantu kerajaan, pembangunan dan rakyat serta menyelesaikan masalah kita.

“Kita harus (memilih pendekatan berbeza) untuk mencari sumber kewangan. Kita harus mempercepatkan perdagangan karbon secepat mungkin atau kita akan ketinggalan di belakang negeri lain dalam pembangunan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

Keywords:
Kompleks Safma





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here