Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang bekerja sendiri dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Selasa atas tuduhan menipu seorang kontraktor bernilai RM150,000 berhubung projek membaiki sekolah bernilai RM1.5 juta di Beluran, lima tahun lalu.
Sidu Edin, 58, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.
Sidu didakwa menipu kontraktor berumur 49 tahun itu dengan memperdayakannya bahawa dia (Sidu) boleh membantunya mendapatkan projek kerja-kerja kecemasan pembaikan di SMK Terusan Sugut bernilai RM1.5 juta.
Tipu daya Sidu menyebabkan pengadu memberikannya wang tunai RM150,000 pukul 8 malam, pada 26 Mac, 2019 di sebuah hotel di sini, menurut pertuduhan.
Pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 2 April untuk pengurusan kes pra perbicaraan dan membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 deposit RM3,000 serta seorang penjamin.
Jason turut mengarahkan Sidu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali dan diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Sidu juga diberi amaran oleh mahkamah supaya tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sementara menunggu pelupusan kes.
Terdahulu, pegawai pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi mencadangkan ikat jamin RM15,000 dan beberapa syarat jaminan dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam Mohd Fadzri Azham Zainudin yang mewakili Sidu memohon ikat jamin lebih rendah dengan menyatakan, antara lain, dia mempunyai tanggungan.