Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Perlu dilaksana menjelang Julai: Hak Sabah dalam MA63
Published on: Friday, March 01, 2024
Text Size:

Perlu dilaksana menjelang Julai: Hak Sabah dalam MA63
Madius berkata kenyataan bahawa “kita adalah generasi pelaksana, oleh itu, laksanakan saja MA63 tanpa perlu rundingan lanjut” terus berkumandang, namun masih terdapat beberapa aspek yang belum dilaksanakan dan ditunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak.
Kota Kinabalu: Hak Sabah seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan sepenuhnya menjelang Julai, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) berkata tumpuan kini harus diberikan kepada penyediaan mekanisme pelaksanaan dan bukannya masih di peringkat rundingan.

“Sebagai contoh, pelaksanaan ‘revenue sharing’ dalam Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, iaitu pemberian hak perlembagaan kepada Sabah untuk mendapatkan 40 peratus daripada jumlah pungutan hasil persekutuan daripada Sabah.

“Walaupun perkara ini berulang kali dibangkitkan di Dewan Yang Mulia ini, hak perlembagaan Sabah telah dinafikan sejak sekian lama.

“Namun, Tuaran tetap berharap jaminan pelaksanaan hak Sabah ini dilaksanakan sebelum Julai 2024 dapat ditunaikan seperti yang diumumkan,” katanya.

Madius berkata kenyataan bahawa “kita adalah generasi pelaksana, oleh itu, laksanakan saja MA63 tanpa perlu rundingan lanjut” terus berkumandang, namun masih terdapat beberapa aspek yang belum dilaksanakan dan ditunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga berkata pengisytiharan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 20 April 2022 iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2022, tiada kaitan dengan langkah untuk melaksanakan hak perlembagaan Sabah dalam hal perkongsian hasil.

“Begitu juga dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 24 Nov 2023 iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023.

“Justeru, Tuaran meminta Kerajaan Persekutuan mengambil langkah-langkah positif untuk menyediakan mekanisme bagi melaksanakan tuntutan hak perlembagaan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Madius berkata kemungkaran dalam memenuhi MA63 berkemungkinan antara penyebab sumpahan kepada pelbagai masalah di Sabah.

Beliau berkata sumpahan itu mungkin berpunca daripada kemungkaran terhadap tiga perkara dalam Batu Sumpah Keningau, yang dibina seiring dengan MA63.

“Pada 30 Ogos 1964, setahun selepas pembentukan Malaysia, batu sumpah ini dilancarkan dengan mengandungi tiga perkara - kebebasan beragama di Sabah; tanah adalah hak Sabah; dan adat istiadat Sabah hendaklah dilindungi dan dipelihara.

“Ia dilancarkan mengikut ritual adat tradisi termasuk penyembelihan kerbau, lembu, kambing, babi dan ayam, yang darahnya dicurahkan ke atas Batu Sumpah.

“Mengikut kepercayaan orang Momogun di Sabah, sumpahan yang diikat sedemikian rupa akan berterusan mengikat pihak terbabit sehingga menjadi sumpahan generasi,” katanya. 

Beliau berkata sepanjang 60 tahun sejarah Malaysia, kebebasan beragama telah terancam; tanah Sabah iaitu Labuan diserahkan kepada Persekutuan untuk dijadikan Wilayah Persekutuan tanpa pampasan; dan kawasan seluas 124,389 hektar diserahkan kepada Felda tanpa pemilikan ekuiti daripada Kerajaan Sabah.

“Semua ini secara terang-terangan melanggar Batu Sumpah Keningau,” katanya.

“Sebab itu lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia adalah di Sabah. Terdapat masalah bekalan air, elektrik, jalan raya, banjir, jambatan gantung yang usang dan kebanjiran pendatang tanpa izin. 

“Pelbagai masalah pembangunan menghantui Sabah. Adakah ini kerana Sumpahan Generasi yang diikat oleh Batu Sumpah Keningau?

“Adakah hanya kita di Sabah yang terkena sumpahan kerana jaminan dan perakuan dalam MA63 dicabul atau tidak dilaksanakan? Maka sebab itu, adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan MA63 dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here