SANDAKAN: Program Jualan Rahmah (PJR) yang dilancarkan pada April tahun lalu memberi manfaat kepada kira-kira 260,000 pengguna di sini, terutamanya golongan B40.
Jumlah tersebut direkodkan bagi lima kawasan di bawah Zon Lima merangkumi Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Libaran dan Batu Sapi untuk tahun 2023 sehingga 2024.
Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Diri (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, dari April 2023 sehingga Mac 2024, PJR telah diadakan sebanyak 145 kali di Zon Lima ini.
“Bagi tempoh April 2023 hingga Disember 2023, nilai subsidi yang telah digunakan adalah sebanyak RM450,575.78.
“Manakala bagi tempoh Januari 2024 hingga Mac 2024, nilai subsidi yang telah digunakan adalah sebanyak 277,036.83. Jumlah keseluruhan setakat ini adalah RM727,612.61.” katanya.
Azdy ditemui media semasa pemeriksaan barangan keperluan sempena musim perayaan dan Program Jualan Rahmah di sebuah pasaraya di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, PJR telah membantu meringankan beban rakyat terutamanya menjelang musim perayaan dan juga permulaan sesi buka sekolah.
“Program Jualan Rahmah ini mendapat sambutan meriah daripada pengguna kerana harga yang ditawarkan lebih murah dalam 10 hingga 30 peratus dari harga asal.
“Pihak KPDN juga akan sentiasa memantau bekalan setiap kali adanya PJR ini. Kita mahu pastikan bekalan-bekalan ini mencukupi terutamanya gula, minyak masak paket dan tepung,” tambahnya.
Azdy juga mengesahkan bahawa bekalan bagi barang keperluan seperti gula, minyak masak paket dan tepung adalah stabil untuk daerah Sandakan.
“Bekalan bagi ketiga-tigs barangan ini adalah stabil namun permintaan musim perayaan agak meningkat ekoran menjelangnya Hari Raya Aidilfitri,” ulasnya lagi.