KENINGAU: Rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disertai masyarakat berbilang bangsa merupakan titik pertemuan bagi masyarakat majmuk di Malaysia untuk mencapai erti perpaduan sebenar.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, konsep rumah terbuka dalam apa jua perayaan boleh merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat, selain memantapkan perpaduan dan muhibah dalam kalangan penduduk berbilang kaum dan agama. Katanya, perayaan Hari Raya, seperti juga perayaan lain, adalah saluran untuk perpaduan di mana sesebuah lapisan masyarakat meraikannya dan inilah keunikan di Sabah.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, Sabah memang sudah dikenali dengan keharmonian masyarakatnya walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latar belakang.