KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik menyifatkan majlis rumah terbuka Hari Raya mampu menyatukan semua kaum sebagai satu keluarga yang harmoni.
Beliau percaya melalui majlis rumah terbuka, semua rakyat di daerah ini dapat hadir untuk beraya bersama di samping menikmati jamuan, bersalaman dan mengucapkan selamat sebagai mengeratkan silaturahim.
“Pada saya setiap perayaan yang diadakan di negara ini perlu dijadikan wadah untuk menyatupadukan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Keluarga Besar beliau dan Hasnan Tawik Mansai yang diadakan pada raya pertama di Taman Bandukan Riverside Resort Bingkor di sini.
Lebih 10,000 orang dari semua lapisan masyarakat termasuk Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datin Seri Cecelia Edwin, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Dr Sangkar Rasam, Ketua PGRS Bahagian Liawan, Datuk Azman Haji Ruslan, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, Pengerusi LIGS, Datuk Edward Lingu, Pegawai Daerah, Peter Jonu Moinjil, ketua masyarakat dan pegawai kerajaan hadir dalam majlis ini.
Robert yang juga Adun Bingkor berkata, walaupun raya tahun ini disambut secara sederhana oleh umat Islam di daerah ini kerana berjimat cermat, namun ia tetap meriah dengan kehadiran orang ramai ke majlis rumah terbuka itu.
Katanya, amalan mengadakan rumah terbukti mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan keharmonian.
“Bagi saya, sambutan yang diadakan di negara ini dapat menyatupadukan rakyat dan mengekalkan perpaduan yang sedia ada di samping mengeratkan kebersamaan dan semangat kekitaan,” katanya.
“Saya amat menghargai kehadiran mereka pada hari ini yang secara langsung dapat memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan silaturahim bukan sahaja sesama umat Islam tetapi semua rakyat berbilang kaum di daerah ini dan daerah lain,” katanya.