Kota Kinabalu: Pemain tenpin boling remaja Sabah menyinar di Kem Bakat Kebangsaan anjuran Majlis Sukan Negara dan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) yang berlangsung di Sunway Megalanes di Selangor pada 7 Mei lalu.
Sabah diwakili oleh Tristen Lee Yan Wai, 14, dari Sekolah Menengah Tshung Tsin dan Miasara Adawiyah Saiful, 13, dari SM All Saints.
Tristen Lee dinobatkan sebagai juara lelaki dengan jatuhan pin 1294 dalam sesi penilaian (pertandingan dalam kalangan peserta), manakala Miasara diletakkan di tempat ketujuh di kalangan peserta perempuan.
Presiden Persatuan Tenpin Boling Sabah Rozzainny Sham Talip berkata seramai 25 atlet seluruh negara mengambil bahagian dalam program itu.
Objektif utama adalah untuk mencungkil bakat yang dikumpul dari setiap negeri dan program itu melibatkan ujian kecergasan, mengenal pasti bakat dan sesi penilaian.
Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok menyampaikan hadiah kepada Tristen dan turut hadir pada majlis penutupan ialah Joherman Amir dari Majlis Sukan Negara dan jurulatih tenpin boling negara Ben Heng.