BELURAN: Masih ramai di negeri ini yang tidak melakukan saringan kesihatan secara berkala khasnya penduduk di luar bandar.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, menyedari perkara ini, kementerian itu tampil dengan inisiatif menyediakan bantuan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk rakyat Sabah.
Katanya, inisiatif bertujuan membantu rakyat untuk mengetahui tahap kesihatan semasa mereka menerusi pengambilan sampel darah yang akan dihantar ke Maklmal Jabatan Kesihatan Negeri untuk tindakan susulan.
“Ini juga salah satu program di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya yang mahukan warganya sihat sejahtera,” ujarnya selepas melancarkan program Pemeriksaan Kesihatan Percuma Rakyat Sabah di Dewan Masyarakat Datuk James Ratib, di Botition, di sini, pada Isnin.
Program itu dilaksanakan kementerian dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Borneo Sinarmas, Damansara-West Rotary Club dan Well Premium Health serta agensi di bawah kementerian dan perniaga Jualan Madani.
Pemeriksaan kesihatan percuma di seluruh Sabah itu bertujuan bagi pengesanan awal masalah kesihatan dan perubatan selanjutnya khasnya untuk penduduk di luar bandar.
Kehadiran ramai penduduk di seluruh pelusuk Zon Botition dan Pamol untuk membuat pemeriksaan kesihatan percuma pada program itu juga diharap mencapai matlamatnya. Ia juga akan diperluaskan ke kawasan luar bandar yang lain selepas ini.
Ujarnya, penyakit berjangkit seperti tibi selain kanser atau penyakit lain juga akan dapat dikesan, dikawal dan dirawat lebih awal menerusi pengesanan awal dalam program percuma itu.
Beliau menyarankan rakyat Sabah supaya apabila mendapat maklumat mengenai jadual untuk skim pemeriksaan kesihatan percuma agar mengambil peluang dengan sebaiknya dan tidak takut membuat saringan kesihatan.
Ini juga boleh menyelamatkan keluarga, mengenal pasti tahap kesihatan dan boleh merawat lebih awal sekiranya rakyat mendapat penyakit atau masalah kesihatan sambil memberi kesedaran kepada rakyat Sabah mengenai pentingnya mengetahui tahap kesihatan mereka.
Berhubung Sabah merupakan negeri tertinggi dengan penghidap kanser tertinggi di Malaysia, jelasnya, saringan kesihatan penting dan perlu peka untuk menjaga pola pemakanan yang lebih sihat.