TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan seorang juragan bot disyaki ejen penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di perairan Sungai Serudung sekitar jam 1.40 petang, pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, suspek yang membawa bot kayu itu ditahan di kedudukan 6.7 batu nautika barat daya Muara Tanjung Doris kerana pergerakan mencurigakan dari Perairan Sungai Serudung menuju ke Sungai Kalabakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit suspek mengesyaki lelaki itu merupakan ejen penyeludupan Pati di kawasan pedalaman berdasarkan pada maklumat perbualan yang terkandung dalam peti pesanan telefon bimbitnya.
Pihaknya turut menahan seorang juragan lelaki warga tempatan, 28, yang disyaki memuatkan barang kawalan tanpa permit dalam bot penumpang di kedudukan 0.6 batu nautika tenggara Jeti CIQ Tawau sekitar jam 3.45 petang hari yang sama.