LAHAD DATU: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes 13 pelajar kolej vokasional yang didakwa membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.
13 tertuduh berusia 16 hingga 19 tahun itu didakwa bersama atas pertuduhan membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, antara jam 9 malam 21 Mac dan jam 7.38 pagi keesokan harinya (22 Mac).
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan tidak lebih daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding tertutup itu diadakan pada Khamis di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani kerana kes itu melibatkan pesalah bawah umur.
Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao tampil untuk pendakwaan, manakala tujuh daripada 13 pelajar itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.
Seorang lagi remaja diwakili peguam Abdul Gani Zelika, manakala lima lagi tidak diwakili.
Ram memberitahu pemberita bahawa laporan kimia dan bedah siasat masih belum selesai, dan 27 Jun ditetapkan untuk penyerahan dokumen terbabit.
Katanya, beliau akan memfailkan permohonan ikat jamin ke atas tujuh anak guamnya di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini (Jumaat). Pada 22 Mac lalu, Mohamad Nazmie Aizzat ditemui mati dengan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan, di asrama kolej berkenaan.
Susulan itu, 13 pelajar kolej vokasional itu ditahan dan seterusnya direman.