Sun, 23 Jun 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Tindakan tegas, proaktif percepat pembinaan menara telekom di Sabah
Published on: Saturday, May 18, 2024
Text Size:

Tindakan tegas, proaktif percepat pembinaan menara telekom di Sabah
FAHMI beramah mesra dengan tetamu pada majlis sembang santai itu. – fotoBERNAMA
Kota Kinabalu: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan proaktif serta melaksanakan langkah-langkah intervensi dalam menyelesaikan permasalahan bagi menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi di Sabah.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan MCMC dan syarikat terbabit berikutan kemajuan pembinaan hampir 400 menara telekomunikasi di bawah Fasa 1  Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Sabah adalah perlahan.

Beliau berkata kemajuan pembinaan kini di tahap 25 peratus dan pada pertemuan itu, beberapa masalah telah dikenal pasti antaranya membabitkan pejabat tanah serta syarikat telekomunikasi yang sepatutnya menerima serahan menara terbabit.

“Ada langkah berbeza kita ambil untuk memastikan penyelesaian tuntas diperoleh dalam masa terdekat. Saya akan kembali ke Sabah pada 30 Mei ini sempena Pesta Kaamatan dan komitmen syarikat menyiapkan hampir 30 menara setiap bulan, kita jejaki pastikan garis masa dipatuhi dan masalah yang dihadapi ditangani serta-merta,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sembang santai bersama Komuniti Madani di sini, Jumaat.

Beliau juga berkata semua ahli Komuniti Madani diwajibkan memuat turun aplikasi telefon pintar SpeedTest dan PriceCatcher bagi membantu dalam memantau kualiti Internet serta harga barang di kawasan masing-masing.

Fahmi berkata melalui SpeedTest, ahli komuniti boleh melakukan saringan terhadap Internet di sesuatu lokasi dan melaporkan secara terus kepada MCMC jika menemukan kawasan yang mempunyai kualiti Internet rendah.

Beliau berkata PriceCatcher daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula membolehkan rakyat di peringkat akar umbi membandingkan harga barang seterusnya memberikan mereka kuasa untuk memilih barang dengan harga yang berpatutan.

“Pastikan menerusi Komuniti Madani, maklumat Kerajaan Persekutuan dan negeri sampai ke peringkat akar umbi supaya tak jadi isu… sampaikan dalam bahasa cocok dengan komuniti itu supaya ikhtiar kerajaan sampai kepada rakyat hingga peringkat akar umbi,” katanya.

“Kita tahu, ada Komuniti Madani yang menjaga sehingga lima kampung malahan ada lebih menyebabkan kadangkala setiap maklumat sukar untuk sampai mungkin disebabkan pelbagai faktor.

“Tetapi dengan adanya pengerusi yang dilantik bagi setiap komuniti, kita akan pastikan mereka bukan sahaja memimpin tetapi juga sebagai penterjemah bahasa daerah kepada masyarakat jagaannya.

“Segala maklumat itu perlu disampaikan dengan bahasa yang sesuai dengan persekitaran komuniti sebagai cerahan masyarakat akar umbi, sebagai contoh Program SejaTi Madani yang dilancarkan.

“Ada komuniti yang tidak faham proses membuat permohonan yang menyediakan geran mencecah RM100,000 untuk aktiviti pertanian dan perniagaan tempatan yang sangat bermanfaat,” katanya lagi.

Fahmi juga berkata bagi memastikan kelancaran Sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept nanti yang disambut di Sabah, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengarah MCMC Pejabat Negeri Sabah, Ratnawaty Talib, Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli dan Ketua Unit Kreatif Cawangan Sabah, Drusella Brigit Anak Rijeng.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here