Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri dengan tegas mengesahkan bahawa ia tidak akan melepaskan hak-hak perlembagaan asas Sabah berkaitan dengan pemberian khas 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Hal ini diperkukuhkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2023, di mana beliau mengakui dan mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar pemberian khas berbanding apa yang dipersetujui sebelum ini, dan akan mempercepatkan rundingan untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
“Isu kritikal ini masih dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Kami akan terus mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah berkaitan dengan formula perkongsian hasil yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan perkara ini harus dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.”
Beliau berkata ini juga termasuk tuntutan Sabah untuk “lost years” (tahun-tahun hilang) di mana tiada kajian semula dibuat dari 1974 hingga kini.
“Setakat ini, terdapat penyelesaian interim – tanpa prejudis – di mana Negeri menerima amaun pemberian khas yang lebih banyak daripada sebelum ini, sementara menunggu rundingan lanjut antara kedua-dua pihak.
“Sementara menunggu rundingan yang sedang dijalankan, jumlah penyelesaian interim untuk pemberian phas meningkat daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM260 juta yang diumumkan pada Januari 2023, kepada RM300 juta pada Julai 2023.
“Walaupun penyelesaian interim ini kurang daripada apa yang dijangkakan – kami akan terus komited dan konsisten dalam menuntut untuk mendapatkan nilai pemberian khas lebih tinggi daripada Kerajaan Persekutuan berbanding sebelum ini,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri menghormati hak Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk memulakan prosiding mahkamah mengenai perkara ini.
“Kami mengakui peranan penting litigasi kepentingan awam dalam memartabatkan kedaulatan undang-undang ke arah pentadbiran yang adil dan saksama.
“Kerajaan Negeri melihat inisiatif oleh SLS dari sudut positif yang tidak berpihak dan tidak berpolitik dalam kepentingan bersama aturan perlembagaan ketika Sabah terlibat dalam pembentukan Malaysia pada 1963.
“Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tetapi saya berkongsi sentimen rakyat Sabah dan berharap sebarang keputusan akan memihak kepada Negeri ini.
“Saya telah mengarahkan Peguam Besar Negeri Sabah untuk meneliti dan menyemak prosiding undang-undang yang sedang berjalan, dan jika perlu, untuk membetulkan sebarang kenyataan salah dan berbeza daripada kedudukan jelas dan rasmi Kerajaan Negeri.
“Walaupun prosiding sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan, kami tetap dengan pendirian untuk mengekalkan tuntutan Kerajaan Negeri bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan secara perundangan dan berperlembagaan untuk melaksanakan hak-hak Negeri Sabah dengan membayar pemberian khas seperti apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada dari segi sejarah mahupun pada masa yang akan datang.”
Beliau berkata hak Negeri Sabah ini dirundingkan sebelum pembentukan Malaysia dan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pendirian ini adalah hak kewangan Negeri dan bukan sekadar aspirasi.
“Sekiranya tiada persetujuan atau penyelesaian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengenai nilai pemberian khas, kami akan melantik penaksir bebas bagi menentukan isu ini dan memutuskan apa yang Kerajaan Persekutuan wajib bayar kepada Sabah.
“Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kami tidak akan berhenti dalam usaha untuk mendapatkan semua hak Sabah yang termaktub di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah kedudukan tegas dan tanpa kompromi Kerajaan Sabah,” katanya.
SLS memfailkan semakan kehakiman terhadap kegagalan Kerajaan Persekutuan menyemak semula pemberian khas 40 peratus yang perlu dibayar kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan. SLS mendapat kebenaran pada 8 Jun 2022.
Persatuan memfailkan permohonan kebenaran pada 9 Jun 2022, menamakan kerajaan Persekutuan dan Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Bagaimanapun, Peguam Negara merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Nov 2022 untuk memberikan kebenaran kepada SLS.
Pada Khamis, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya terhadap rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran yang diberikan kepada Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) berhubung pemberian khas negeri.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ravinthran N Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing menangguhkan keputusan mereka selepas mendengar hujahan daripada semua pihak.
Mahkamah menetapkan 24 Mei ini untuk pengurusan kes.