Kota Kinabalu: Penduduk Kampung Lok Baru di Pulau Gaya, dekat sini, menangkap seekor buaya seberat 200 kilogram dengan panjang 12 kaki pada Rabu.
Ketua Polis Daerah ACP Kasim Muda berkata polis menerima maklumat mengenai penangkapan itu pada 4.30 petang Rabu.
“Siasatan awal mendapati penduduk kampung telah mengesan buaya itu di perairan kampung sebelum secara kolektif memutuskan untuk menangkapnya menggunakan tali dan bot,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
Buaya itu dipindahkan ke bot Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut pada jam 5.30 petang.
Terdahulu, dilaporkan reptilia itu cuba menyerang seorang kanak-kanak yang sedang berenang.
Pegawai Operasi APM, Leftenan (PA) Ezra Daniel Gandui berkata, budak lelaki itu cukup pantas menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas salah sebuah rumah berkakit.
“Penduduk kampung mengambil masa kira-kira sejam untuk mengesan buaya seberat 200 kilogram itu, yang kemudiannya dibawa ke Tanjung Aru pada jam 7.05 malam.
“Ia kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya sambil mengingatkan orang ramai di kawasan itu supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air.