Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 33 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Atas pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan meminta kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu melakukan seks oral ke atasnya pada pukul 10 malam pada Jun 2023 di sebuah rumah di Ranau.
Atas pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan meminta kanak-kanak sama memegang alat sulitnya di tempat dan masa yang sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 26 Jun ini untuk pengurusan kes dan menawarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu, lelaki itu diingatkan supaya tidak menghubungi atau mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan dalam kes ini, menyerahkan pasport (jika ada) kepada mahkamah sementara menunggu perbicaraan, melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggal (Balai Polis Ranau) pada hari pertama setiap bulan sehingga perbicaraannya selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Suriyati Jumain tampil untuk pendakwaan manakala lelaki itu tidak diwakili.
Di mahkamah berasingan, seorang penganggur berusia 39 tahun yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, akan dibicarakan pada 19-20 Dis tahun ini.
Mahkamah menetapkan tarikh itu untuk Jaiman Keminlian yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan dikenakan ke atasnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak terbabit di sebuah rumah di Likas pada 16 Jan tahun ini.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan memanggil kira-kira enam saksi semasa perbicaraan.
Mahkamah juga menetapkan 20 Nov untuk menyerahkan salinan dokumen baharu kerana Jaiman berkata salinan lama hilang.
Jaiman direman lanjut sementara menunggu pelupusan kesnya.