TAWAU: Seorang lelaki berusia 50 tahun, yang menyamar sebagai pegawai polis untuk melakukan rompak berkumpulan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis.
Mohammad Romy Mustamil mengaku bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad melakukan jenayah itu bersama seorang yang masih bebas pada 21 Ogos 2022 pada jam 4.20 petang di Kg Mentaritip, Semporna.
Advertisement
.gif)
Romy, yang berumur 48 tahun ketika kejadian, bagaimanapun, terlepas hukuman sebatan rotan atas faktor umur (kini 50 tahun).
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan rakan sejenayahnya menaiki kenderaan jenis Perodua Axia memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan sepasang gari di tangan kepada mangsa.
Mangsa yang ketakutan diarahkan keluar dari rumah pekerja yang menjaga sebuah kawasan solar elektrik di Ladang Menteritip, Pegagau, bersama tiga mangsa lain yang berada di dalam rumah, manakala, Romy dan rakannya masuk dan membuat penggeledahan.
Mereka mengambil barangan milik mangsa iaitu lima buah telefon bimbit, beg kulit silang mengandungi wang tunai RM2,500 dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Advertisement

Romy ditangkap pada 24 Ogos 2022 sekitar 12.10 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 2 1/2 Jalan Bubul Lama serta merampas beberapa barang kes.
Terdahulu, peguam Jhesenny P. Kang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan kerana anak guamnya sudah insaf dan bertekad tidak mahu terlibat jenayah lagi.
Advertisement
.jpg)
Menurutnya, selama hampir dua tahun ditahan di penjara, anak guamnya mahu memulakan hidup baru apabila selesai menjalani hukuman kelak dan menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab menyara keluarga seperti lelaki lain.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Syahnidzam Ahmad pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh untuk memberi pengajaran kepada dirinya dan masyarakat serta mengambil kira trauma dialami mangsa apabila tertuduh menyamar sebagai polis dengan menunjukkan gari.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.