Thu, 25 Jul 2024

HEADLINES :


Labuan terima RM162j untuk infra pendidikan: RM110j untuk pembangunan pangkalan udara
Published on: Saturday, June 08, 2024
By: Bernama
Text Size:

Labuan terima RM162j untuk infra pendidikan: RM110j untuk pembangunan pangkalan udara
Nanta Linggi berkata tiga daripada projek tersebut, bernilai RM114 juta, kini dalam peringkat awal dan proses perolehan bagi projek-projek ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini.
LABUAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan peruntukan keseluruhan RM162 juta untuk tujuh projek pembangunan infrastruktur di pulau bebas cukai ini bagi tahun 2024.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tiga daripada projek tersebut, bernilai RM114 juta, kini dalam peringkat awal dan proses perolehan bagi projek-projek ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini.

“Tiga projek tambahan dengan nilai gabungan RM24 juta dijadual untuk pelaksanaan tahun ini...ia termasuk pembinaan blok baharu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, pembinaan penggantian dan bangunan tambahan di SMK Labuan dan pembinaan bangunan tambahan untuk prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Patau-Patau.

“Selain itu, projek membabitkan pembinaan blok bangunan dan kerja-kerja menaik taraf Kolej Matrikulasi Labuan yang juga bernilai RM24 juta telah berjaya disiapkan pada Mac 2024,” katanya pada majlis penyerahan projek Kolej Vokasional Labuan (LVC), Jumaat.

Beliau menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan mengutamakan projek pembangunan berdasarkan kesegeraan dengan tujuan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk pelajar di Labuan.

“Kami berharap inisiatif-inisiatif ini akan memberi banyak manfaat kepada persekitaran pendidikan di sini,” katanya.

Nanta Linggi turut memberi jaminan bahawa kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya Labuan komited untuk membimbing KPM dalam melaksanakan program pembangunan yang meningkatkan ekosistem pendidikan negara dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat.

“Menteri Kerja Raya mengakui cabaran yang dihadapi oleh pihak kontraktor dalam mendapatkan bahan binaan tempatan dan selalunya memerlukan sumber dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata projek LVC yang bermula 15 Disember 2019 telah siap pada 20 Mac 2024.

“Walaupun menghadapi kesukaran mendapatkan bahan binaan dan sekatan pergerakan akibat Covid-19, kontraktor berjaya menyiapkan projek itu,” tambahnya.

Nanta berkata kemudahan baharu di LVC termasuk blok tambahan untuk bengkel seni kulinari, bengkel teknologi elektrik untuk voltan rendah dan tinggi, bengkel kimpalan, bengkel industri mesin dan bengkel automotif.

“Projek ini merupakan satu peristiwa penting bagi masyarakat setempat, mencerminkan usaha kerajaan dalam memperkasakan pendidikan vokasional serta meningkatkan bilangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan negara,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM110 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur di Pangkalan Udara Labuan di Membedai yang dijadualkan bermula tahun ini.

Nanta berkata projek berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), meningkatkan perlindungan cerun serta memperluas kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Beliau berkata projek baharu terbabit antaranya melibatkan pembinaan bangunan ibu pejabat pangkalan, pusat kawalan perintah pangkalan (BCCC) serta kemudahan untuk Skuadron Handau.

“Kita jangkakan kesemua projek ini siap menjelang 2026,” katanya pada majlis penyerahan Projek Pembinaan Infrastruktur untuk Perpindahan Skuadron Hawk di pangkalan udara berkenaan di sini, Jumaat.

Nanta berkata projek berjumlah RM19.2 juta untuk Skuadron Hawk itu merupakan bukti dedikasi kerajaan bagi menyediakan kemudahan lebih baik kepada anggota tentera.

Menurut Nanta projek bermula pada 2019 dan siap pada Mac lepas itu antaranya menaik taraf bangunan ibu pejabat sedia ada, garaj, kemudahan latihan berasaskan komputer (CBT), pejabat peralatan/kenderaan sokongan darat pesawat, pembinaan bangunan blok bujang dan kerja-kerja turapan di jalan rayap Bravo dan Alpha.

“Kerajaan berharap kesemua projek ini akan memberi impak positif kepada Kementerian Pertahanan dan meningkatkan keupayaan Skuadron Hawk dalam menjalankan operasi keselamatan di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Pengarah Jabatan Kerjaya Raya Labuan Mohd Faizul Ali Hanapiah berkata pihaknya telah memantau dengan teliti kemajuan projek berkenaan.

Terdahulu Nanta turut meninjau kerja-kerja menaik taraf simpang tiga di Jalan Penghulu Tuah melibatkan kos RM1.2 juta. 

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here