KENINGAU: Kerajaan Negeri memberi amaran keras kepada pempengaruh agar tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan lagu negeri, “Sabah Tanah Airku” di platform media sosial.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, tindakan sedemikian juga dilihat sebagai tidak menghormati Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.
“Kita tidak boleh memperlekehkan dan mempermainkan lagu ‘Sabah Tanah Airku’, sebab ini adalah lagu rasmi kemerdekaan Sabah. Kita harus hormati lagu ini. Setiap kali kita menyanyi kita perlu berdiri dengan hormat, bukan duduk ketawa-ketawa menyanyi,” tegasnya.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan mengulas tindakan sekumpulan pempengaruh menyanyikan lagu “Sabah Tanah Airku” di media sosial dengan tidak menghormati, sehingga menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi negatif masyarakat.
Katanya, sekiranya perkara sama berulang lagi, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau ditemui pada program Sabah Sihat Rakyat Sejahtera anjuran Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah bersama Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBBS) Zon Keningau, di Dewan Badminton Kompleks Sukan di sini.
Mengenai program ini, Jeffrey berkata ia amat bermanfaat kepada masyarakat kerana ia mendedahkan penjagaan kesihatan kepada mereka.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang bagi mendidik rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.