TAWAU: Sabah merekodkan bantuan berjumlah RM108.5 juta dengan jumlah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 68,812 orang sehingga April tahun ini, kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Jais Asri.
Menurutnya, berkuatkuasa 1 Januari 2024, syarat kelayakan permohonan pemberian bantuan bulanan JKM menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan dan Perkapita Kebangsaan 2022 (Baharu) iaitu RM1,198 atau RM322 Per Kapita.
Advertisement
.gif)
Oleh itu, katanya, statistik JKM menunjukkan bilangan penerima bantuan di negara ini pada tahun 2023 berjumlah 543,811 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2,535,250.293.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan dan Transformasi Minda Penerima Bantuan JKM (PT-Minda JKM) di Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Wisma Kastam, di sini, pada Sabtu lalu. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah (Persekutuan), Roshayati Omar.
Program itu dihadiri 120 penerima Skim Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja OKU dan Bantuan Am dari Bahagian/ Daerah Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu.
Jais berkata, antara objektif penganjuran Program PT-Minda JKM adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan kepada penerima bantuan JKM yang produktif, khususnya penerima Skim Kanak-kanak JKM (BKK).
Advertisement
.png)
“Program ini juga mahu memberi kesedaran kepada penerima bantuan JKM yang produktif tentang tanggungjawab dalam keluarga dan kemiskinan tidak sepatutnya diwarisi,”katanya.
Justeru itu, katanya, Jabatan sedaya upaya membantu penerima bantuan kebajikan ke arah hidup berdikari, tidak bergantung kepada bantuan selama-lamanya dengan memperkasakan klien bagi meneruskan kelangsungan kehidupannya sendiri melalui program PT-Minda JKM.
Advertisement
_(1).png)
“Harapan saya, semoga program ini dapat memberi kesedaran kepada penerima bantuan untuk meningkatkan taraf hidup dan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan serta dapat memberi pendedahan dan pengetahuan tentang tanggungjawab ahli keluarga supaya kemiskinan tidak diwarisi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program itu merupakan kerjasama antara JKM dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) yang mula dilaksanakan sejak tahun 2022.
Katanya, tujuan utama PT-Minda JKM dilaksanakan adalah untuk memberi motivasi dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan termasuk dari segi pengurusan kewangan peribadi kepada penerima bantuan JKM yang produktif.
“PT-Minda JKM ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan lagi pengetahuan bagi pemantapan diri dan keluarga, kemahiran keibubapaan positif serta pengurusan kewangan keluarga yang dikongsikan LPPKN dan Bahagian Psikologi Dan Kaunseling JKM.
“Penekanan juga diberikan mengenai pendekatan ‘Kemiskinan Tidak Harus Di Warisi’ dan pendidikan perlu diberi penekanan kepada anak-anak penerima bantuan bagi mengubah taraf hidup keluarga,”katanya.
Beliau berharap kerjasama antara JKM dan LPPKN akan diteruskan pada masa hadapan demi manfaat kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.