Kota Kinabalu: Seorang kakitangan kerajaan berusia 42 tahun didenda sejumlah RM852,000 dan penjara 30 tahun atas 30 pertuduhan menggunakan jawatannya untuk menganugerahkan kerja pembekalan di Pusat Pemulihan Cure and Care (CCRC) di Papar kepada syarikatnya sendiri.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Syamsul Jikan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-30, Mohd Syamsul dipenjara setahun dan denda antara RM10,000 dan RM62,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan Mohd Syamsul menjalani hukuman penjara itu secara serentak.
Mahkamah membenarkan permohonan Mohd Syamsul untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan pembayaran denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-30, Mohd Syamsul didapati bersalah menggunakan jawatannya dengan mengemukakan sebut harga daripada syarikatnya, Syarikat Emmy Stationary, untuk membekalkan barangan kepada pusat itu.
Dia melakukan kesalahan itu antara Januari dan Oktober 2015 di Pejabat CCRC di Jalan Papar-Beaufort.
Kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Pihak pendakwaan memanggil 19 saksi dalam perbicaraan itu dan seorang saksi pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggam Bennet melakukan pendakwaan manakala peguam Hamid Ismail mewakili Mohd Syamsul.