PUTATAN: Kebersihan yang menjadi salah satu faktor kesihatan adalah tanggungjawab bersama masyarakat.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, adalah penting bagi masyarakat untuk mengekalkan kebersihan sekitar bagi membendung penyakit bawaan seperti bawaan tikus.
“Sering kita baca di akhbar-akhbar berkaitan isu-isu keracunan makanan, jangkitan penyakit bawaan tikus dan sebagainya, ianya semua bermula dengan kebersihan.
“Kempen pada hari ini merupakan salah satu platform yang boleh digunakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengingatkan masyarakat tentang bahayanya tikus serta bagi mencegah penularan penyakit bawaannya.
“Selain itu, kempen juga bertujuan untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan sekitar demi untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan setempat.
“Bagi mengekang penularan penyakit bawaan tikus ini, saya difahamkan Kementerian Kerajaan dan Tempatan Perumahan (KKTP) melalui Majlis Daerah Putatan telah berusaha untuk mengekang, malah ingin membanteras penyakit-penyakit bawaan tikus yang adakalanya boleh membawa kepada kematian.
“Menjadi tanggungjawab bersama untuk mengawal pembiakannya dan saya berharap kempen ini turut mendapat kerjasama dari semua pemilik premis yang ada di daerah Putatan ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Kempen Membasmi Infestasi Tikus Kawasan Pasar Awam Majlis Daerah Putatan Tahun 2024 di Pasar Awam Sementara Putatan, pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya mengingatkan masyarakat agar menjaga kebersihan bukan sahaja dari penyakit bawaan tikus tetapi juga penyakit bawaan haiwan lain seperti denggi dari nyamuk Aedes.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, Faridah Giau.