Thu, 25 Jul 2024

HEADLINES :


Tidak wajar libatkan PTI: Mustapha. 24 sambungan air haram ditemui di Kg Suang Parai
Published on: Monday, June 17, 2024
By: Agust Dean
Text Size:

Tidak wajar libatkan PTI: Mustapha. 24 sambungan air haram ditemui di Kg Suang Parai
Antara sambungan haram yang ditemui di saluran utama.
Kota Kinabalu: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud kesal dengan tindakan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membawa bersama individu bukan warganegara dalam perhimpunan aman terhadap masalah air di hadapan Menara Kinabalu pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, tindakan berdemonstrasi dengan membawa individu bukan warganegara tidak seharusnya berlaku.

Katanya, beliau agak terkejut apabila ketua pelajar mengakui mereka membawa individu tanpa kewarganegaraan melakukan demonstrasi isu-isu membabitkan rakyat Sabah.

“Saya agak terkejut dan tidak jangka perkara ini berlaku kerana ini melibatkan mahasiswa kita. Itu sebabnya saya lebih awal menerangkan bahawa kena rasional tentang isu ini.

“Bukan kita menghalang mereka (mahasiswa) berdemonstrasi, tetapi dari awal lagi saya terangkan kita kena dapatkan permit dan buat demonstrasi secara aman dengan penuh rasional.

PEGAWAI JANS dikerah untuk membongkar sambungan haram di Suang Parai.

“Tetapi, apa yang mereka buat, mereka bawa bukan warganegara untuk bersama-sama meramaikan bilangan mereka. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan ulang tahun ke-25 Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pesta Kaamatan PKR Sabah, di sini, pada Ahad.

Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata beliau agak kesal dengan keadaan yang berlaku dan mengingatkan orang ramai agar jangan sesekali bawa bukan warganegara dalam isu yang melibatkan hak dan tanggungjawab rakyat Sabah.

Beliau juga menolak mana-mana cubaan oleh kumpulan mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti yang melibatkan bukan warganegara dalam perjuangan mereka.

Kata beliau, jika ada parti yang menggunakan isu ini dan melibatkan bukan warganegara, maka rakyat Sabah harus menolak mereka pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, mahasiswa terlibat perlu bertanggungjawab dengan tindakan mereka sekiranya pihak berkuasa ingin mengambil tindakan.

“Kita sudah beri peringatan lebih awal, jadi saya serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk buat siasatan. Terserah kepada polis kerana bagi kita, ada akta yang jelas tentang isu ini maka,” katanya.

Pada Jumaat, kira-kira 80 orang mewakili Suara Mahasiswa UMS dan wakil NGO mengadakan perhimpunan aman di hadapan Menara Kinabalu untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri bagi menyelesaikan masalah air di UMS dan Sabah secara menyeluruh.

Pada hari yang sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda mengesahkan penahanan sembilan individu yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri semasa hendak beredar dari lokasi perhimpunan aman berkenaan.

Penunjuk perasaan berarak kira-kira 3km dari UMS ke Menara Kinabalu untuk menyampaikan memorandum yang mengetengahkan masalah air UMS.

Pelajar enggan berganjak tanpa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerima dokumen itu dan menghabiskan kira-kira 17 jam berhimpun di luar Menara Kinabalu sehingga pagi Sabtu sebelum bersurai.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya melabel pelajar sebagai “tidak matang” selepas mereka menolak permintaannya untuk menyerahkan memorandum itu kepadanya.

Sementara itu, Jabatan Air (JANS) mula membongkar 24 sambungan air haram di Kg Suang Parai di Sepanggar, Ahad, selepas ini dikenal pasti antara faktor masalah air berterusan yang dihadapi pelajar UMS.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, air itu diambil oleh pihak tertentu dari saluran penghantaran utamanya.

“Sambungan haram ini menyumbang kepada pengurangan isipadu air yang memasuki takungan utama di UMS, suatu isu membimbangkan yang sedang ditangani secara aktif oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata bagi mengurangkan masalah itu, Jabatan Air melaksanakan langkah pemantauan berterusan sehingga suatu skim vendor beroperasi sepenuhnya di kawasan yang dikenal pasti terdedah kepada aktiviti haram seperti itu.

Sekumpulan pelajar UMS dan ahli pertubuhan bukan kerajaan mengadakan perhimpunan aman pada Jumaat lalu berhubung gangguan bekalan air yang berpanjangan, bukan sahaja di universiti itu tetapi banyak bahagian di negeri ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us              

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here