Kota Kinabalu: Sabah menyapu bersih kategori terbuka dalam Cabaran Orang Kuat Pulapol Kuching yang julung kali diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuching pada Sabtu lalu.
Desmond Chan dan Joyce Heng merangkul gelaran lelaki dan wanita dalam acara yang menampilkan lapan disiplin Tire flip (300kg), Truck Pull (8 tan), Farmer’s walk, Car Deadlift, Yoke walk, Atlas Stone dan Bearhug (60 liter).
Advertisement

Desmond dengan 53.5 mata mengatasi Yong Chee Hang dari Sarawak dengan 0.5 mata untuk merangkul gelaran, manakala seorang lagi atlet Sabah Randy Roy menduduki tempat ketiga dengan 52 mata.
Joyce pula memperoleh 39 mata, tiga mata di hadapan pemenang tempat kedua yang juga rakan sepasukannya Flavia Manie Luntak dan di tempat ketiga ialah atlet Sarawak, Evelyn dengan 22.5 mata.
Walaupun menang selesa, Joyce, yang menanggung sendiri perbelanjaan menyertai kejohanan itu, berkata ia masih mencabar kerana penganjur membuat sedikit pelarasan pada berat.
“Berat untuk pertandingan itu diselaraskan lebih ringan daripada standard biasa bagi menarik lebih ramai peserta menyertainya.
“Justeru ia sedikit mencabar buat saya kerana segala-galanya perlu dilakukan pada kadar yang lebih pantas dan saya tidak biasa dengan itu, jadi ia merupakan pengalaman baharu untuk saya melakukan bebanan ringan dengan laju.
“Secara keseluruhannya saya akan katakan ia adalah satu acara yang sangat berjaya dan diharapkan akan ada lagi tahun depan,” katanya.
Menurutnya, kejohanan orang kuat yang seterusnya adalah Beijing’s Strongest yang dijadualkan pada 3 Ogos, tetapi sebelum itu, dia akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan Malaysia yang akan diadakan di Centre Point di sini pada 6-7 Julai.
“Jurulatih gusti lengan negeri, Jolly Johnson telah meminta saya mewakili negeri dalam pertandingan tahun ini. Ini akan menjadi pengalaman baharu untuk saya mencabar yang terbaik di negara ini dan saya pasti akan memberikan yang terbaik untuk membanggakan negeri,” katanya.