Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan diperintah dikenakan sekali sebatan rotan kerana melakukan rompak bersenjata ke atas seorang pekerja kedai 24 jam.
Freymicky Heliry Abel mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya pada Rabu.
Dia merompak pekerja kedai itu berjumlah RM470 milik kedai itu, menggunakan pisau jam 3.15 pagi pada 13 Apr tahun ini di premis kedai berkenaan di Kingfisher, di sini.
Freymicky melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi tertuduh yang tidak dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.
Kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Freymicky menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Semasa mitigasi, Freymicky meminta hukuman ringan dengan mengatakan bahawa dia menyesal dan mengaku terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Dia juga memaklumkan mahkamah bahawa dia mempunyai satu lagi kes iaitu kes dadah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suriyati Jumain menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan atas alasan ia merupakan kesalahan serius kerana Freymicky menggunakan senjata semasa melakukan kesalahan itu.
Mahkamah diberitahu kejadian itu berlaku ketika mangsa bekerja di kedai itu apabila dua lelaki tidak dikenali datang dan seorang daripada mereka kemudian dikenali sebagai Freymicky mengacukan pisau ke arah mangsa.
Freymicky dan tertuduh bersama kemudian mengambil wang tunai dari mesin sebelum meninggalkan tempat kejadian.
Susulan laporan polis, mereka ditahan selepas itu.