SANDAKAN: Pasar raya, peruncit dan peniaga diingatkan mematuhi arahan untuk menurunkan harga telur ayam yang diturunkan 3 sen sebiji bagi gred A, B dan C bermula Isnin (17 Jun) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Daerah, Azdy Zukkry John berkata, tindakan tegas juga akan diambil sekiranya ada pihak terlibat gagal mematuhi arahan itu.
“KPDN sedang mempergiat pemantauan dan pemeriksaan harga runcit serta bekalan telur ayam di peringkat pemborong dan peruncit di daerah ini berikutan pengumuman berkenaan,” katanya semasa menjalankan pemeriksaan harga dan bekalan telur ayam di salah sebuah ladang ternakan ayam penelur di sini, pada Rabu.
“Hasil pemeriksaan, kita mendapati pihak peladang patuh dan menurunkan harga telur ayam gred A, B dan C seperti mana arahan kerajaan. Bekalan juga mencukupi untuk daerah ini”.
Semasa pemeriksaan di ladang itu, Azdy diberi taklimat oleh Pengurus merangkap Pengurus Jualan Prolific Quality Sdn Bhd Cawangan Sandakan itu, Lim Nyit Loong.
Lim berkata, ladang itu mampu mengeluarkan 140,000 telur ayam sehari termasuk dari Tawau bagi menampung keperluan daerah ini.
Dalam masa sama, Azdy juga menyatakan bekalan telur ayam di daerah ini juga mencukupi untuk bekalan pengguna.
Pemeriksaan sama turut dijalankan di salah sebuah pasar raya di sini yang menerima bekalan telur ayam dari ladang berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati pasar raya tersebut menerima bekalan telur ayam gred A, B dan C, dan harga runcitnya sejajar dengan harga yang ditetapkan itu.
Bagi daerah ini, harga runcit telur ayam yang berkuatkuasa 17 Jun bagi gred A ialah RM0.48 sen sebiji, gred B berharga RM0.47 sen sebiji dan gred C adalah RM0.46 sen sebiji.
Azdy berkata, ia juga mengikut penentuan harga maksimum telur ayam, harga maksimum borong dan runcit bagi barangan terkawal di kawasan Pantai Timur, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Tongod dan Telupid.
Seramai 19 pegawai penguatkuasa dan lapan Pegawai Pemantau Harga KPDN akan terbabit secara khusus dalam menjalankan pemeriksaan harian di premis perniagaan yang kerap dikunjungi pengguna, meliputi kawasan bandar dan luar bandar di daerah ini.
Selain itu, Azdy juga menggesa peniaga mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakan barangan kawalan dengan barangan lain, serta mempamerkan dengan jelas tanda harga semua barangan yang dijual.
Jika sabit kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011, individu yang didapati menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000, dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan serupa, ia boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan kawalan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.
Syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Azdy berkata, aduan mengenai salah laku peniaga boleh dibuat menerusi saluran aduan rasmi yang disediakan oleh KPDN, dan tidak menyebarkannya di media sosial, untuk memastikan siasatan dapat dijalankan sebaiknya.