Kota Kinabalu: Sebuah syarikat perkhidmatan sokongan terkemuka di hospital kerajaan di Sabah, Sedafiat Sdn Bhd, menyumbang kira-kira 300 bakul makanan dan karton air minuman botol kepada mangsa banjir Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Awang Buhtamam bin Ag Mahmun berkata syarikat itu membuat sumbangan sedemikian di bawah tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) kepada hampir 300 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini pada 30 Jun lalu.
Beliau berkata semua sumbangan itu akan diserahkan kepada pejabat daerah masing-masing di Penampang, Putatan, dan Tuaran yang akan mengagihkan kepada mangsa banjir yang dikenal pasti.
Menurutnya, beliau difahamkan lebih 200 mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan Penampang di Pusat Kebudayaan Penampang sebelum pusat itu ditutup pada Rabu (3 Julai).
“Saya juga dimaklumkan kebanyakan mangsa banjir di sini tidak mendapat perlindungan di Pusat Kebudayaan Penampang, sebaliknya memilih tinggal bersama ahli keluarga atau saudara mara.
“Jadi jumlah mangsa banjir itulah yang kita prihatin dan ingin membantu meringankan beban mereka dengan mengagihkan barangan kepada mereka.
“Ini kerana saya melihat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat,” katanya.
Ag Buhtamam berkata demikian kepada Daily Express selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Putatan Mohamad Ikram bin Datuk Aidi, yang mewakili Pejabat Daerah Putatan, di pejabat itu, dekat sini, Khamis.
Justeru, katanya syarikat itu menyumbangkan barangan keperluan untuk kira-kira 200 ketua isi rumah mangsa banjir di Penampang, 37 bakul makanan dan karton air minuman botol kepada mangsa banjir di Putatan, diikuti 30 di Tamparuli dan 13 di Tuaran,” katanya.