SANDAKAN: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kini sedang menjalankan usaha mencari dan menambah bekalan air bawah tanah di daerah ini melalui lubang bor (borehole) untuk memastikan sumber air berterusan dapat disalurkan kepada pengguna di daerah ini.
Pengarah JANS Suhaimi Asbullah berkata, ketika ini, Sandakan mempunyai 14 lubang bor sedia ada.
Advertisement
.gif)
“Bagaimanapun, ia tidak mencukupi ketika ini dengan perkembangan pesat pembangunan di daerah ini.
“Usaha ini (air bawah tanah) akan memakan masa tetapi beberapa usaha jangka masa pendek akan dilaksanakan seperti pemasangan pam penggalak di kawasan perumahan rumah pangsa di bandar lama yang mengalami tekanan air rendah.
“Ini bagi membolehkan mereka menerima bekalan air, khasnya penduduk di tingkat atas, kerana sistem air sedia ada di kawasan bandar lama tidak menyokong tekanan berkenaan dan menyebabkan air tidak sampai kepada mereka,” katanya.
Antara kawasan terjejas ialah Bandar Ramai-Ramai, Bandar Nam Tung, Tanah Merah dan sekitarnya yang menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Hilltop, di sini.
Advertisement
.png)
Bagaimanapun, loji itu tidak lagi beroperasi untuk rawatan air mentah kerana kekurangan air. Bekalan kini datang dari loji rawatan air terdekat.
Ketika ini, Suhaimi berkata JANS sedang dalam perundingan dengan pihak konsultan dan dijangka memerlukan masa enam bulan untuk mengenal pasti dan mewujudkan lubang bor baharu sebelum isu bekalan air di Sandakan dijangka selesai dalam tempoh dua tahun lagi.
Advertisement
_(1).png)
Suhaimi berkata demikian selepas melawat Loji Rawatan Air Hilltop dekat bandar Sandakan, Jumaat, bersama Adun Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin.
Hadir sama, Pengurus Kanan Timatch Sdn Bhd, Dhanasegaran Sega, Jurutera Air Bahagian Sandakan, Alchemy Lobo October M. Sabin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjong Papat, Max Million Lee.
Antara lain, George berkata, lawatan ini juga bertujuan untuk mendapat gambaran sebenar berkenaan isu bekalan air yang dihadapi penduduk di sebahagian kawasannya di Karamunting sejak beberapa bulan ini.
George berharap, usaha jangka masa pendek JANS iaitu memasang pam penggalak mampu membantu pengguna air di kawasannya sementara menanti penyelesaian jangka masa panjang yang dirancang.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata kualiti air di Sandakan masih menepati standard yang ditetapkan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di mana sampel kerap diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama JANS.
“Setakat ini, tiada laporan berkenaan keracunan dalam sampel air itu dan ia juga sentiasa dipantau menerusi pengambilan sampel secara berjadual,” katanya.
Manakala bagi ujian tahap kemasinan air bersih di daerah ini, Suhaimi berkata, hasil daripada sampel diambil mendapati ia semakin berkurangan, sementara penutupan loji secara berkala dilakukan untuk tujuan berkaitan mengikut kesesuaian paras air sedia ada.
George juga menasihati orang ramai agar menggunakan peralatan sampel yang sesuai untuk mengukur tahap keselamatan air, atau membawa sampel itu ke makmal berdaftar bagi memastikan ia benar-benar terbukti selamat dan bukan ditular tanpa ujian yang sah.