Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM131 juta untuk pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid, serta program kerohanian di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajji Noor berkata, ini adalah antara pelbagai usaha Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat dan seterusnya membawa lebih banyak lagi kemajuan di negeri ini.
“Kerajaan Negeri terus memperkukuhkan pembangunan modal insan dengan penyediaan pelbagai bantuan, pinjaman dan peruntukan selain peluang pendidikan kepada rakyat tanpa mengira kaum, bangsa serta agama.
“Baru-baru ini, saya telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini di bawah satu platform.
“PTPS adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam memperkasa bantuan kepada belia Sabah, terutama yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini,” katanya pada Majlis Graduasi Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur Tahun 2024 di Dewan Kompleks JKKN Sabah, di sini, Sabtu.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada sekolah tahfiz di negeri ini dan akan terus membantu sebarang keperluan.
Advertisement
_.gif)
Sehubungan itu, beliau mahu semua pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye agar menimba ilmu sebanyak mungkin bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama, apabila tamat pengajian kelak.
“Pelajar-pelajar ini juga perlu berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu serta inovasi baharu agar mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.
“Kerajaan komited dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri ini, sebab itu ia perlu dianggap sebagai jihad terpenting kerana ilmu pengetahuan yang bakal diperolehi dapat disumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara.
“Ini termasuk dalam membantu agenda pembangunan negeri yang turut memerlukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.
“Justeru, saya berharap semua pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye memiliki jati diri kental agar tidak terbabit atau tidak mudah terpengaruh dengan dakyah tertentu yang menyeleweng atas nama Islam.
“Saya mahu semua pelajar berpegang kepada tujuan utama mereka iaitu menimba ilmu sebanyak mungkin di sana bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama,” katanya.
Seramai 56 pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur telah dipilih melanjutkan pengajian ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turkiye.