TAWAU: Hospital Tawau dan Sandakan akan dinaiktaraf menjadi hospital negeri, sekali gus menjadikan Sabah mempunyai tiga hospital pakar major di negeri ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, perkara itu dijangka mampu merapatkan jurang fasiliti kesihatan yang agak besar di negeri ini apabila kualiti perkhidmatan dapat diperkasakan menerusi penempatan pakar-pakar penyakit dan sebagainya.
“Kita dalam rangka untuk mengangkat Hospital Tawau ini (menjadi hospital negeri) agar kita dapat memperbaiki pelbagai sudut perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat - Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) peringkat negeri di Padang Bandaran Tawau, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib.
Berkenaan klinik kesihatan daif di negeri ini pula, Dr. Dzulkefly berkata, isu tersebut sememangnya dalam perhatian khusus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diselesaikan menerusi peruntukan RM21. 5 juta.
Katanya, daripada 70 klinik kesihatan daif, khususnya yang masih bangunan papan, 58 sudah dinaiktaraf pihak KKM dengan 15 sudah siap sepenuhnya, manakala 43 lagi sedang dalam kerja-kerja naik taraf dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.
Berhubung masalah kekurangan doktor perubatan di negara ini, beliau menyatakan KKM sedang dalam perancangan untuk memastikan agihan bilangan pegawai perubatan yang melibatkan semua bahagian dalam memastikan kesaksamaan di seluruh negara.
Katanya, kerajaan menyedari nisbah satu doktor kepada 900 penduduk (1:900) yang berlaku di Sabah berbanding nisbah kebangsaan 1:412, dan akan cuba memberi tumpuan dalam usaha merapatkan jurang sumber manusia di fasiliti kesihatan negeri ini.
“Isu ini kita akan tangani menerusi program Reformasi Sumber Manusia di seluruh negara,” katanya.
Menyentuh program pada Sabtu, beliau berkata acara itu merupakan usaha kerajaan mempromosikan budaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit, serta meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat untuk mencegah peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Menurutnya, peningkatan jumlah saringan kesihatan di Sabah di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) daripada 1,017,095 pada 2022, kepada 1,538,727 pada 2023 iaitu peningkatan 51.3 peratus menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat negeri ini tentang kepentingan saringan kesihatan semakin meningkat.
Sempena program itu, aktiviti Berjalan 10,000 Langkah bersama Menteri Kesihatan mencatatkan kehadiran lebih 10,000 orang bermula dari Padang Bandaran Tawau, mengelilingi kawasan bandar dan kembali di padang itu.
Kempen itu, katanya, menggalakkan masyarakat khususnya di Tawau untuk mengamalkan budaya hidup yang sihat dengan hanya berjalan kaki secara santai.