LAHAD DATU: Ahli-ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) khususnya di Bahagian Silam diminta agar menjadi ‘bodyguard’ bagi mempertahankan ‘rumah’ mereka.
Ketua PGRS Bahagian Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, penting bagi setiap ahli untuk menggalas tanggungjawab menjaga rumah iaitu parti agar tidak diusik oleh anasir-anasir luar.
Mizma berkata, musim Pilihanraya Negeri (PRN) semakin dekat dan pasti akan banyak agenda atau tohmahan yang akan dilemparkan oleh pihak lain bagi melemahkan parti.
“Kita harus saling mengeratkan perpaduan dan menjadi ‘bodyguard’ untuk jaga rumah kita agar tidak dimasuki oleh agenda-agenda yang boleh memprovokasi keutuhan parti kita.
“Fokus kepada gerak kerja kita dan terus perkasakan gerak kerja serta jentera kita agar kita sentiasa dalam keadaan bersiap-siaga,” katanya.
Mizma berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Silam, Ahad.
Mizma dalam ucapannya berkata, PGRS kini mendapat sokongan yang menggalakkan daripada rakyat, justeru itu pasti ada pihak yang akan berusaha untuk menjatuhkan parti.
Katanya, bagi memastikan parti terus utuh, para ahli khususnya di peringkat akar umbi harus saling bersatu dan bekerjasama.
“Bekerjalah mengikut perancangan dan strategi yang telah kita rangka, fokus kepada gerak kerja kita dan utamakan kepentingan parti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mizma menzahirkan rasa syukur atas kelancaran mesyuarat cawangan yang diadakan secara serentak bagi cawangan-cawangan di PDM Silam.
Katanya, kelancaran mesyuarat yang melibatkan 13 cawangan menunjukkan kesepakatan dan kesatuan ahli-ahli parti.
Beliau juga berharap agar mesyuarat ini dapat menjadi wadah untuk para ahli merapatkan jalinan kerjasama dan silaturahim demi keutuhan parti.