PUTATAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan diberi kelulusan untuk membangun dan mentadbir urus satu kawasan seluas 1.46 ekar sebagai lokasi perniagaan berasaskan makanan di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Arsit Sedi berkata, kelulusan yang diberikan Tanjung Aru Eco Development (Taed) Sdn Bhd itu bakal membuka peluang kepada ahli PPK untuk berniaga di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong itu.
Katanya, PPK Putatan akan menyediakan fasiliti untuk kemudahan peniaga dan keselesaan pengunjung di tapak baharu itu yang terletak di Pantai Tanjung Aru 2.
“PPK Putatan diberi tapak bagi membuka tempat berniaga untuk ahli di Pantai Tanjung Aru 2. Kita sudah hantar cadangan kepada TAED untuk pertimbangan Pengerusinya Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
“Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga bersetuju supaya PPK Putatan diberi kelulusan untuk membangunkan kawasan Pantai Tanjung Aru 2 itu.
“Fokus kita ialah perniagaan makanan atau restoran dan kraftangan, selain tempat untuk pelancong menikmati pemandangan matahari terbenam seperti yang menjadi tarikan Pantai Tanjung Aru,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan PPK Putatan Ke-9 2024 yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Ir Shahelmey Yahya, Sabtu.
Selain di Pantai Tanjung Aru, Arsit berkata PPK Putatan juga akan membuka dan mengurus tadbir Peladang Outlet di Kampung Meruntum, di sini, yang bakal dijadikan tempat untuk memasarkan hasil pertanian dari seluruh Sabah.
Katanya, pembinaan kemudahan itu mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan ia akan dimulakan selepas PPK Putatan mendapat kelulusan pelan pembangunan daripada Majlis Daerah Putatan.
Arsit juga berkata PPK Putatan mendapat satu lagi tapak untuk dibangunkan sebagai lokasi perniagaan ahli, iaitu di Aeropod Tanjung Aru.
“Ini sama seperti di Pantai Tanjung Aru, kita akan membangunkan tapak untuk ahli berniaga di bawah urus tadbir PPK Putatan.
“Semua kemudahan yang disediakan melalui PPK ini adalah untuk manfaat ahli. Keuntungannya nanti bakal dinikmati ahli sendiri.
“Sehubungan itu, PPK Putatan menggalakkan ahli kita untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dan mengambil peluang program lain yang diwujudkan bagi memperkasa ahli,” katanya.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berharap perkembangan terbaharu itu dapat membantu pembangunan ekonomi di kawasan parlimen berkenaan.
“Saya berharap dengan kawasan yang diberikan kepada PPK Putatan, pembangunan sosioekonomi dapat diwujudkan seperti peluang pekerjaan dan perniagaan, yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi di Putatan,” katanya.