Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah merekodkan seramai 8,167 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini.Jumlah berkenaan termasuk usahawan PKS yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan positif berbanding tahun sebelumnya.
“Angka ini memang menunjukkan pertambahan yang ketara terutama di kawasan Kota Kinabalu.
“Oleh itu, MIDE mahu menggalakkan lebih usahawan untuk mendaftar di bawah DIDR kerana kita sudah membantu ramai usahawan PKS berdaftar tahun lalu.
“Kerajaan pada tahun ini kita sudah menambah peruntukan daripada RM11 juta kepada RM15 juta menerusi program SME-Up.
“SME-Up adalah program di bawah kementerian saya untuk membantu usahawan kita yang mehu memulakan perniagaan.
“Kita boleh bantu mereka tambah kemahiran, penjenamaan, pembungkusan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media pada pelancaran kedai Christy Ng di pusat beli-belah Imago, baru-baru ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai inisiatif lain dilaksanakan kementeriannya dalam usaha membantu usahawa PKS di Sabah, Jin Zhe memaklumkan pihaknya bakal melancarkan satu program pemberian mikro geran bagi seseorang usahawan memulakan perniagaan.
“Sesiapa peniaga yang memerlukan bantuan kewangan sebagai permulaan berniaga, mereka boleh datang ke pjabat kita.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan yang bermula daripada bawah namun akhirnya mampu membina empayar perniagaan sendiri.
“Cerita kejayaan seumpama ini pastinya akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk bergelar usahawan berjaya,” katanya.