SEORANG pemilik pusat kitar semula di Kolombong dikompaun RM500 kerana beroperasi tanpa lesen yang diperlukan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk berniaga bahan terbuang.
Jurucakap Jabatan Perlesenan (LD) agensi itu berkata kompaun itu dikenakan baru-baru ini di bawah Undang-Undang Kecil (Pengendalian Sekerap), 1966 DBKK.
“Kami sebelum ini sudah memberitahu pemilik bahawa dia tidak mempunyai lesen sah dan mengarahkannya untuk menghentikan operasi,” katanya.
Beberapa serangga yang memasuki kondominium dapat dilihat di dalam cawan plastik ini.
“Individu itu dimaklumkan menerusi surat bahawa aktiviti kitar semula tidak sesuai dengan pengezonan penggunaan tanah kami di bahagian Jalan Lintas Khidmat ini.
“Dia diminta untuk menempatkan semula pusatnya ke lokasi yang lebih sesuai untuk jenis perniagaan ini.”
Katanya, pengusaha itu diberi tempoh tangguh untuk mematuhi keperluan DBKK.
“Semasa pemeriksaan susulan, pegawai LD mendapati arahan ini tidak dipatuhi.
SEORANG kakitangan JKP menunjukkan bahaya denggi yang mungkin timbul akibat air bertakung di dalam tayar terpakai di pusat kitar semula itu.
“Kompaun telah diserahkan kepada kakitangan atasan di pusat kitar semula pada pemeriksaan itu.”
Jurucakap itu berkata seorang pemeriksa dari Jabatan Kesihatan Persekitaran (JKP) DBKK mengiringi lima kakitangan LD dalam pemeriksaan ini, yang merupakan kali kedua kedua-dua Jabatan datang ke pusat ini tahun ini.
Untuk kali pertama mereka memeriksa situasi di sana pada Januari, manakala yang kedua bagi melakukan pemeriksaan sama secara berasingan pada Mei.
Pemeriksaan ini dibuat susulan kebimbangan mengenai serangga mungkin membiak di dalam bahan-bahan terbuang di pusat kitar semula tersebut.
Serangga perosak ini nampaknya memasuki beberapa unit di sebuah kondominium di sekitarnya.
SEORANG kakitangan Unit Alam Sekitar DBKK (kiri) berbincang dengan kakitangan di kilang pemprosesan beras.
Salah seorang pemilik unit menghubungi agensi tersebut beberapa kali antara Januari dan Julai mengenai gangguan yang ditimbulkan oleh serangga ini.
DBKK juga menerima maklum balas mengenai kesulitan sama daripada tiga pembayar kadar perumahan dan satu lagi komersial pada April.
Bagaimanapun, empat individu ini mengesyaki serangga itu mungkin datang dari kilang pemprosesan beras, di satu bahagian lain di Jalan Lintas Khidmat. Salah seorang daripada mereka bahkan pernah mengemukakan aduannya ke pejabat Adun Luyang.
Semua pengadu ini memberikan DBKK gambar atau rakaman video serangga yang dimaksudkan.
Jurucakap JKP berkata pihaknya masih cuba mengenal pasti spesies serangga perosak ini.
Katanya, pemeriksa dari Unit Alam Sekitar Jabatan itu menyiasat setiap laporan tentang gangguan ini.
“Mereka tidak menjumpai serangga di sekitar pusat kitar semula itu dan tiada bukti kehadiran serangga di tapak tersebut,” katanya.
“Pengurusan juga menunjukkan syarikat tersebut telah mengupah perkhidmatan pembasmi serangga yang secara berkala melakukan pewasapan di dalam perkarangan.”
“Kakitangan kami diberikan resit pembayaran yang dibuat kepada pembasmi serangga itu sebagai bukti.”
Bagaimanapun, katanya, syarikat itu sudah dua kali diberikan peringatan untuk menjaga kebersihan tapak dan memastikan keadaan teratur: peringatan pertama diberikan secara bertulis pada Januari dan secara lisan pada Jun.
Mengenai kilang pemprosesan, jurucakap itu berkata sampel kutu beras telah diambil pada April.
“Produk di dalam kemudahan disusun dengan teratur tetapi serangga masih dilihat merangkak di atas lantai kilang.
“Pengurus memberi jaminan secara peribadi bahawa premis akan diasap secepat mungkin untuk mengurangkan kehadiran kutu beras ini. Kakitangan kami menerima jaminan ini pada April dan sekali lagi pada Mei.”
Katanya, tiada bukti kutu beras ditemui di kilang kitar semula.
“Namun ini tidak menghairankan kerana tidak ada beras atau jenis bijiran lain disimpan di tapak ini.”