Kota Kinabalu: Terdapat kira-kira 63 peratus lagi rumah setinggan yang belum dirobohkan di Sabah menerusi operasi yang giat dilaksanakan ketika ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, setakat ini sebanyak 3,542 notis telah ditampal pada rumah setinggan yang belum dirobohkan dan dijangka akan dirobohkan antara hujung Julai atau Ogos depan.
Advertisement

“Daripada jumlah notis tersebut, sebanyak 1,332 rumah telah dirobohkan sehingga semalam. Jadi ada kira-kira 63 peratus rumah yang belum diroboh tetapi telah ditampal notis.
“Jumlah paling banyak perobohan dilakukan adalah di Kota Kinabalu iaitu lebih 200 rumah, diikuti di Kota Marudu sebanyak 160 rumah dan Semporna sebanyak 138 rumah.
“Sehingga kini juga, cuma ada lima daerah lagi (daripada 20 daerah polis) yang belum dilaksanakan operasi. Lima daerah itu ialah Keningau, Sipitang, Beluran, Papar dan Tenom,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Selasa.
Katanya lagi, selepas operasi setinggan kategori C dilaksanakan, operasi seterusnya mengikut kategori B dan A pula akan dilakukan.
Advertisement
_.gif)
“Bagi kategori C ini kita jangka kawasan setinggan di bawah 100 rumah, kalau kategori B antara 100 hingga 200 rumah dan lebih daripada 200 rumah itu kategori A.
“Jadi kita buat secara berperingkat, kita bersihkan dulu yang kecil-kecil atau jumlah yang tidak terlalu banyak ini.
Bagaimanapun, Jauteh berkata, pelaksanaan operasi tersebut dilakukan mengikut lunas undang-undang Sabah, termasuk memberikan notis terlebih dahulu kepada penghuni rumah setinggan.
“Kita mengeluarkan notis kepada rumah berkenaan supaya mereka ini diberi peringatan dan persiapan.
“Kadang-kadang ada kawasan itu kita beri notis dua kali. Notis pertama kita bagi tempoh 14 hari, notis kedua kita bagi tempoh 14 hari lagi,” jelasnya.
Tambah beliau, operasi itu akan dapat menyelesaikan beberapa isu bukan saja melibatkan jenayah tetapi juga isu semasa yang dihadapi negeri ini iaitu berkaitan kecurian air dan elektrik.
Beliau berkata, ia dapat menyelesaikan isu pencerobohan tanah kerajaan atau persendirian, selain menangani isu jenayah kerana tempat seperti itu sering menjadi lokasi jenayah seperti penyalahgunaan dadah dan tempat persembunyian penjenayah.
“Seterusnya, kita dapat menyelesaikan isu kecurian air dan elektrik, serta isu kebersihan di Sabah sebab kalau dilihat, sekarang ini kawasan setinggan berselerak dengan sampah sarap,” jelasnya.