Kota Kinabalu: Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS) komited menangani isu-isu pembetungan di Daerah Penampang.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata JPPS melaksanakan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan aset pembentungan secara berkala dan apabila menerima aduan.
“Bagi aset pembetungan yang telah dikenal pasti sebagai kritikal di mana terdapat aduan berulang yang memerlukan kerja-kerja rutin operasi dan penyelenggaraan, pihak JPP Sabah akan merancang dan mengadakan kontrak operasi dan penyelenggaraan tiga tahun dan juga secara tahunan.
“Selain itu, terdapat juga aset pembetungan yang telah dikenal pasti sebagai kritikal dimasukkan dalam skop kerja di bawah program Skim Pembetungan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun 2024.
“Terdapat sebanyak 23 buah projek di mana tujuan utama program ini adalah untuk menaik taraf dan membaik pulih aset sedia ada milik PBT yang telah diambil alih oleh JPP Sabah semenjak tahun 2015,” katanya.
Menurut Limus, di bawah program Skim Pembetungan Pihak Berkuasa Tempatan sebanyak RM10,931,085 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri pada 2024.
Dari segi peruntukan penyelenggaraan, JPPS diperuntukan sebanyak RM42,644,554 tahun ini.
Beliau menjawab soalan Adun Kapayan, Jannie Lasimbang berkaitan tindakan segera untuk menangani isu-isu pembentungan yang semakin serius serta penambahan kakitangan JPPS dalam sesi soal jawab untuk jawapan Lisan.
Mengenai kakitangan JPPS Penampang, kata Limus, JPP Sabah menyedari tentang peningkatan jumlah aduan yang diterima pada tahun ini berbanding tahun lepas, selain penerimaan aset tambahan dari PBT bagi Daerah Penampang.
“Langkah-langkah proaktif dengan menambah baik organisasi di JPP Penampang telah diambil, selain menggantikan Pegawai Kerja Pembetungan Daerah, J29 (PKPD) kepada Jurutera Daerah, J41 (JD).
“Ini bagi membolehkan JPP Penampang dapat berfungsi dengan lebih berkesan dan menangani setiap aduan dengan cepat,” katanya.