LAHAD DATU: Jabatan Hidupan Liar menembak mati seekor buaya betina susulan operasi bersepadu yang dijalankan di Kampung Sabah Baru, di sini, pada Khamis.
Pegawai Hidupan Liar Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, operasi bersepadu itu dilancarkan pada Khamis dalam usaha memburu buaya, disertai Jabatan Hidupan Liar, Polis dan Angkatan Pertahanan Awam.
Silvester berkata, operasi itu meliputi beberapa kawasan termasuk Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Kampung Dasar Baru, Kampung Desa Bajau, Kampung Sabah Baru, Kampung Tabanak dan Kampung Terusan.
“Semasa operasi, pasukan mengesan seekor buaya berhampiran sebuah rumah di Kampung Sabah Baru.
“Tembakan dilepaskan ke arah buaya itu. Bangkai kemudiannya dibawa ke Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Silvester, buaya itu sepanjang kira-kira 8.2 kaki.
Tambahnya, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.