Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Kimanis, Tailin Mainan
(gambar), terkejut dengan Adun GRS Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacoob, yang berulang kali merayu untuk memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis walaupun Kerajaan Negeri berpendirian bahawa ia bukan keutamaan.
Beliau berkata rakyat lebih mengharapkan Kerajaan Negeri menggunakan sumber, dana dan tenaga untuk menyelesaikan masalah banjir yang melanda, keadaan infrastruktur yang buruk dan bekalan elektrik tidak teratur di Bongawan dan Membakut daripada bercakap mengenai pemindahan KKIA.
“Beberapa kawasan di Bongawan dan Membakut berulang kali ditenggelami lumpur akibat banjir tahun ini. Setakat ini, kita masih belum melihat sebarang tindakan oleh Kerajaan Negeri pimpinan GRS terhadap kerja-kerja penyahlodakan dan pelebaran yang ramai percaya perlu dilakukan di Sungai Membakut.
“Ramai penduduk kampung kehilangan harta benda dan tanaman mereka akibat banjir baru-baru ini.
“Ada yang beranggapan sebab tiada rancangan pengurusan dijalankan walaupun isu ini sudah berkali-kali diketengahkan adalah kerana agenda tersembunyi dan jahat untuk menurunkan harga tanah di Membakut supaya pihak tidak bertanggungjawab membelinya dengan harga yang sangat rendah daripada penduduk kampung yang percaya lebih baik menjualnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tailin berkata ia tidak membawa sebarang perbezaan di mana lokasi sebenar lapangan terbang itu akan berada.
Beliau khuatir kerja-kerja penambakan atau peningkatan pada masa hadapan boleh menyebabkan masalah besar kerana ketiadaan tebatan banjir atau sistem perparitan yang dinaik taraf.
“Sepuluh atau 15 tahun dari sekarang, pemimpin GRS yang mendesak pemindahan (yang mungkin tidak tinggal di sana) mungkin tidak ada lagi untuk memikul apa-apa tanggungjawab tetapi anak-anak kita yang mewarisi tanah kita yang menderita.
“Melainkan Kerajaan Negeri terlebih dahulu mengeluarkan pelan pembangunan masa depan yang terperinci untuk Bongawan dan Membakut dan meneruskan projek tebatan banjir yang telah lama ditunggu-tunggu termasuk pembinaan longkang monsun yang betul, kita tidak nampak sebab mengapa kita perlu menyokong pemindahan semula ini, “kata Tailin.
Dr Yusuf, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Sdn Bhd, berkata dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada 9 Julai bahawa memindahkan KKIA ke Kimanis adalah penting untuk menangani kesesakan di lapangan terbang dan sebagai penyelesaian jangka panjang.
Beliau juga dilaporkan berkata kajian kebolehlaksanaan telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan sedang menunggu kelulusan untuk meneruskan pembinaan.
Dr Yusof berkata KKIA sekarang hanya mempunyai satu landasan dan menduduki tapak seluas 900 ekar, meninggalkan ruang minimum untuk pengembangan.
Tambah Tailin, jelas sekali Dr Yusof dan pemimpin GRS tidak mengetahui hakikat bahawa kerja pembangunan berbukit di Moyog yang berleluasa pada tahun 2000an ditambah lagi dengan amalan pembinaan yang buruk dan pengurusan perparitan yang tidak bertanggungjawab menyebabkan banjir berulang kali berlaku di Penampang sekarang.
“Jadi bagaimana kita boleh menyokong cadangannya?,” kata Tailin.