TAWAU: Seorang lelaki yang memiliki 10 rekod jenayah lampau di Semenanjung Malaysia, ditahan polis berhampiran sebuah pondok keselamatan di sekitar kawasan bandar ini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 40an itu ditangkap jam 2.30 pagi kerana tindak-tanduk mencurigakan di tepi jalan Taman Cynthia, berhampiran pondok keselamatan.
Menurutnya, sepasukan anggota unit pencegahan jenayah dari Balai Polis Tawau sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu sebelum melihat kelibat suspek.
“Pemeriksaan awal ke atas beg silang dibawa suspek mendapati satu kotak rokok, yang mengandungi satu paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur kecil disyaki syabu seberat sekitar 0.17 gram, bersama peralatan menghisap dadah.
“Suspek ditahan lanjut bersama barang kes ke IPD Tawau dan saringan ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau di Kuala Lumpur dan Johor membabitkan dadah dan jenayah, termasuk waran tangkap.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis daerah ini sedang aktif menjalankan operasi berkonsep kepolisan agresif bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha menangani kes jenayah dan dadah di Tawau.
Justeru, katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan penjenayah dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dengan kes jenayah mahupun dadah.