KENINGAU: Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan empat kolej matrikulasi baharu di negara ini, masing-masing satu di Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peruntukan untuk Kolej Matrikulasi Sarawak telah diluluskan, manakala peruntukan untuk Kolej Matrikulasi Terengganu sedang dalam proses kelulusan.
“Dua lagi kolej sedang dalam proses pembinaan bangunan asrama tambahan iaitu di Kelantan dan Kedah.
“Bangunan asrama tambahan di Kelantan boleh memuatkan 1,000 pelajar manakala di Kedah seramai 388 pelajar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kenduri Rakyat Zon Pedalaman Atas Sabah, di sini.
Program itu dianjurkan oleh Wanita Keadilan Sabah.
Fadhlina berkata tiada Kolej Matrikulasi di Sabah dan Kementeriannya menyedari keperluan untuk mewujudkan kolej seumpama itu di negeri ini.
Kolej Matrikulasi yang terdekat dengan Sabah terletak di Labuan yang mula beroperasi pada 1 Jun 1999.
Menjawab soalan mengenai jurang digital antara pelajar semenanjung dan pelajar di pedalaman Sabah seperti Pensiangan dan Keningau, Menteri berkata
Kementeriannya menyedari masalah itu, dan langkah untuk merapatkan jurang tersebut sedang dijalankan.
“Kita melihat kapasiti guru dengan kerjasama kementerian lain, khususnya Kementerian Komunikasi, untuk melengkapkan sekolah kita dengan akses internet.
“Kita juga memaksimumkan peranan Pusat Aktiviti Guru yang dijadikan pusat rujukan latihan dan pembelajaran...sebenarnya, dalam usaha ini, kita sentiasa memastikan jurang itu dapat dirapatkan dengan usaha konsisten dan juga dengan peluang sedia ada, terutama dengan melihat kepada peranan pusat aktiviti guru,” katanya.
Menteri berkata kerjasama penuh daripada semua pihak, termasuk Kementeriannya, guru dan pihak berkaitan, adalah perlu bagi memastikan dasar pendidikan digital dapat dicapai sepenuhnya.
Fadhlina turut memuji pencapaian Kolej Vokasional Keningau yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa dengan pelbagai pencapaian, sekali gus meletakkannya sebagai kolej berprestij di negara ini.
“Kejayaan kolej ini kita kongsikan dengan rakan-rakan kita lain untuk memastikan bahawa di peringkat pendidikan vokasional kita sudah ada penanda aras, yang saya rasakan patut dan wajar terus diangkat, iaitu KV Vokasional Keningau,” jelasnya.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin, Pengerusi Felcra Niaga Sdn Bhd Datuk Dr. Sangkar Rasam, Pegawai Pendidikan Keningau Johari Sabin dan Naib Ketua Keadilan Malaysia Datin Rupinah Pengeran.