EMPAT penjaja dikenakan kompaun oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana berniaga secara haram di Kepayan dan Kolombong beberapa bulan kebelakangan ini, manakala seorang lagi di Sipitang tidak lagi dibenarkan menjual barang di pekan itu kerana gagal mematuhi syarat-syarat Majlis Daerah.
Tindakan ini diambil susulan maklum balas bahawa agensi-agensi tersebut tidak cukup tegas bagi membanteras masalah membabitkan aktiviti penjaja di kawasan masing-masing.
Seorang pemandu mengeluh tentang kesukaran yang dialaminya ketika membuat pusingan U di bahagian Jalan Pintas berhampiran kejiranan Kepayan Ridge disebabkan oleh gerai-gerai buah di bahu jalan.
KAKITANGAN pelesenan sentiasa memantau penjaja haram yang beroperasi di Jalan Kilang.
Dia menganggap struktur ini sebagai bahaya lalu lintas.
Seorang pemilik rumah di Kolombong pula ingin tahun sama ada ia selamat atau tidak untuk membeli makanan dan minuman daripada penjaja di Jalan Kilang, memandangkan debu yang dihasilkan oleh banyak kenderaan yang lalu-lalang di sepanjang jalan tersebut.
Seorang pembeli di Sipitang, sebaliknya, mengeluh tentang kesulitan yang ditimbulkan oleh gerai-gerai di kaki lima di pekan tersebut kepada pejalan kaki.
Katanya, mereka yang berjalan kaki perlu berhati-hati dengan tempat yang mereka lalui, agar tidak melanggar pelbagai halangan di laluan mereka dan akhirnya tercedera.
PEGAWAI Penguatkuasa ini bercakap dengan pemilik gerai di Sipitang ini tentang barang yang diletakkan di belakang kedainya.
Keluhan mereka kemudian dikemukakan kepada DBKK dan Majlis Daerah Sipitang.
Seorang jurucakap Jabatan Perlesenan DBKK menafikan dakwaan bahawa mereka mengabaikan aktiviti di sepanjang Jalan Pintas dan Jalan Kilang.
Katanya, beberapa pemeriksaan telah dilakukan di kedua-dua kawasan tersebut sebaik sahaja DBKK mengetahui tentang kebimbangan awam itu.
“Dua pemeriksaan telah dibuat di kawasan Kopungit di Jalan Pintas pada Julai,” katanya.
“Tidak ada gerai yang dilihat di bahu jalan pada pagi ketika kakitangan Perlesenan pertama kali pergi ke jalan tersebut.”
Katanya, kakitangan Jabatan itu kembali pada waktu malam enam hari kemudian.
“Mereka mendapati ada sebuah gerai durian di bahu jalan pada masa itu. Pemiliknya tidak mempunyai lesen penjaja dan dikenakan kompaun sebagai akibatnya.
“Individu tersebut diminta untuk mengemas barangan dan meninggalkan kawasan tersebut. Dia juga diberi amaran keras agar tidak terus menjaja sehingga dia mendapat lesen daripada DBKK.”
PASUKAN Penguatkuasa Majlis Daerah sentiasa memantau pekan Sipitang untuk memastikan penjaja mematuhi kehendak agensi.
Jurucakap itu berkata lapan penjaja di sepanjang Jalan Kilang turut menerima amaran sama, dengan notis berkaitan disampaikan kepada individu-individu ini.
Tiga daripada mereka tidak mempunyai ‘Kad Kesihatan’ yang diperlukan untuk menjual makanan dan minuman kepada orang ramai, menurutnya.
“Tiga pemeriksaan berasingan telah dilakukan dalam tempoh tiga bulan,” kata jurucakap itu.
“Kami terus memantau penjaja haram yang beroperasi di Jalan Kilang dan Jalan Pintas.”
Katanya, kakitangan Perlesenan telah memaklumkan rakan sejawatan mereka di Jabatan Penguatkuasaan (ED) agensi itu tentang penemuan mereka semasa pemeriksaan sebelumnya di laluan ini.
Seorang jurucakap ED berkata tiga penjaja di sepanjang Jalan Kilang telah dikenakan kompaun, setelah Jabatan itu mengetahui apa yang berlaku di bahagian Kolombong ini.
Setiap daripada empat penjaja yang diambil tindakan antara Mac dan Julai ini telah melanggar Undang-Undang Kecil Penjaja Dewan Bandaraya 1966 (Pindaan 2008).
Di bawah Undang-Undang Kecil tersebut, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 dan berhadapan kemungkinan barangan mereka dirampas oleh agensi.
Dalam kes paling buruk, mereka juga boleh dihadapkan ke mahkamah, di mana mereka berisiko dikenakan denda maksimum RM5,000.
Sementara itu, Majlis Daerah Sipitang menarik balik kebenaran yang diberikan kepada seorang penjaja untuk membuka gerai di pekan itu kerana individu tersebut telah berulang kali enggan mematuhi syarat-syarat agensi.
Jurucakap pihak berkuasa itu berkata individu tersebut membuat rayuan terhadap keputusan ini tetapi Majlis setakat ini enggan berganjak.
“Kami membenarkan penjaja untuk menduduki kaki lima di luar kedai di pekan, bergantung pada lebar kawasan umum ini,” katanya.
“Penjaja ini perlu membayar yuran dan mematuhi syarat-syarat kami untuk memanfaatkan keistimewaan ini.”
Dia berkata pasukan Penguatkuasaan Majlis Daerah membuat rondaan berkala untuk memastikan penjaja tidak menyalahgunakan kebenaran yang mereka terima untuk membuka gerai di pekan.